Polis telah menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes tembak jurujual telefon bimbit di Taman Sentosa, di sini, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid memaklumkan, lelaki berusia 40 tahun itu ditahan pada jam 10.30 malam di Tanjong Tokong.

Berikutan itu, polis telah mendapatkan perintah reman ke atas lelaki berkenaan selama enam hari bermula hari ini sehingga 1 Jun untuk siasatan lanjut.

"Mangsa berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya," katanya merujuk kepada jurujual berusia 22 tahun yang ditembak individu bertopeng ketika sedang memandu.

Nik Ros Azhan berkata, setakat ini, seramai lima orang saksi, termasuk rakan mangsa dan pemandu Toyota Hilux yang berhampiran ketika kejadian, telah dirakam percakapan.

Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenalpasti motif serangan, tambahnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian kira kira jam 11.15 pagi Sabtu itu, jurujual berkenaan mengalami kecederaan di badan, bahu, lengan kanan dan paha kanan selepas ditembak dari jarak dekat.

Mangsa sempat menyelamatkan diri dengan merangkak keluar melalui pintu kiri kereta selepas ditembak.

Susulan itu, kereta mangsa yang masih bergerak telah bergesel dengan sebuah Toyota Hilux sebelum berhenti akibat dihalang oleh konkrit pembahagi jalan.