Malaysia mencatatkan peningkatan kes tibi dan kusta pada tahun 2017, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata bagi kes tibi, sebanyak 26,168 kes baharu dilaporkan pada tahun lepas, meningkat sebanyak lapan peratus berbanding 24,220 kes pada tahun 2015.

Bagi kes kusta pula katanya, 214 kes direkodkan pada tahun 2017 berbanding 206 kes pada tahun 2016 dengan 13 kes baharu melibatkan kanak-kanak di Kelantan, Pahang, Sabah dan Terengganu.

"Peningkatan kes (tibi) adalah ekoran aktiviti pengesanan dan saringan kes yang dilakukan. Pada 2017, sejumlah 418,897 golongan berisiko tinggi tibi telah menjalani saringan X-ray dada dan sejumlah 3,631 kes baharu dikesan dan dirawat.

"Kadar kematian tibi pada 2015 adalah 5.5 setiap 100,000 penduduk telah meningkat kepada 6.8 setiap 100,000 penduduk pada tahun 2017," katanya pada ucapan Sambutan Hari Tibi dan Kusta Sedunia peringkat Kebangsaan dengan tema 'Ke Arah Malaysia Bebas Tibi dan Kusta: Kesan Awal dan Pastikan Sembuh' di Felda Bukit Goh di sini, pada Selasa.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Azman Abu Bakar dan turut hadir ialah Pengarah Kesihatan negeri Dr Sha'ari Ngadiman.

Berdasarkan statistik 2017, seramai 23,035 pesakit tibi adalah rakyat tempatan manakala bagi penyakit kusta, empat negeri yang mencatatkan kes paling tinggi ialah Sabah dengan 72 kes, Selangor (34 kes), Johor (20 kes) dan Pahang (19 kes).

Berhubung kes baharu kusta melibatkan kanak-kanak seawal usia tiga hingga 14 tahun, Dr Subramaniam berkata ia menunjukkan masih terdapat jangkitan kusta baharu dalam komuniti selain lapan kes baharu pada 2017 dikesan dengan kecacatan Gred 2.

Dr Subramaniam juga memaklumkan bahawa berdasarkan Pelan Strategik Kawalan Tibi Kebangsaan (2016-2020), negara menyasarkan penurunan sebanyak 25 peratus kematian akibat tibi menjelang 2020, yang memerlukan perhatian semua pihak untuk menjayakannya.

"Pengesanan dan rawatan awal penyakit tibi dan kusta sangat penting bagi mengawal penularan penyakit ini dalam kalangan masyarakat. Pesakit yang telah memulakan rawatan perlu menghabiskan rawatan.

"Rawatan sekurang-kurangnya enam bulan bagi penyakit tibi dan enam hingga 18 bulan bagi penyakit kusta. Pesakit yang terhenti rawatan boleh merebakkan semula kuman tibi dan pada tahun 2016, terdapat 1,226 kes pesakit tibi terhenti rawatan," katanya.

Dr Subramaniam berkata penyakit tibi yang merebak melalui udara dan mereka yang mempunyai simptom batuk berpanjangan melebihi dua minggu, demam, berpeluh pada waktu malam, kurang selera makan, susut berat badan dan batuk berdarah diseru untuk menjalani pemeriksaan.

Penyakit kusta pula berpunca daripada kuman bakteria yang menyerang saraf, kulit, lapisan mukosa dan boleh menyebabkan kecacatan anggota kaki, tangan dan mata jika tidak dirawat.

"Sebarang tompok di kulit yang hilang atau kurang sentuhan rasa, tidak gatal, tidak berpeluh perlu disahkan doktor sebagai bukan kusta apatah lagi jika ia telah lama dan tidak pulih dengan rawatan sebelumnya," katanya.

-- BERNAMA