Dua lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes ugutan jenayah terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sidam, Dr Robert Ling Kui Ee dibebaskan dengan jaminan polis.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Adzli Abu Shah, lelaki berusia 23 dan 39 tahun itu dibebaskan hari ini selepas pihaknya selesai merekod keterangan mereka.

Katanya, kedua-dua lelaki terbabit ditahan ketika serbuan dilakukan pasukan khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di Selangor dan Perak pada Jumaat.

Tangkapan pertama dilakukan sekitar Telok Bunut, Banting, kira-kira jam 6 petang manakala suspek kedua ditahan di Taman Sentosa, Langkap, pada jam 6.30 petang.

Kedua-dua mereka kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk tindakan lanjut.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua suspek ditahan ketika serbuan dilakukan polis Selangor dan Perak pada Jumaat. Foto Astro AWANI

BACA: Lelaki ditahan kerana ugut wakil rakyat

BACA: Dua ADUN Kedah dari PKR keluar parti, sokong kerajaan PN

Jelas Adzli, hasil semakan mendapati, kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Mereka direman selama dua hari bermula semalam kerana disyaki melakukan ugutan, dipercayai akibat rasa tidak puas hati terhadap tindakan Dr Robert yang meninggalkan PKR.

13 Mei lalu, Dr Robert membuat laporan polis berhubung beberapa ugutan yang diterima termasuk terhadap keluarga serta perniagaannya oleh beberapa individu melalui Facebook dan kiriman mesej.