Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan memantau tiga penyakit melibatkan jangkitan saluran pernafasan (URTI), jangkitan mata dan asma di negeri ini berikutan jerebu yang sedang melanda ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri S. Veerapan dalam kenyataan di sini, malam ini berkata berdasarkan pemantauan kes URTI di Klinik Kesihatan Nilai, terdapat peningkatan kes sebanyak 28.5 peratus pada minggu epid ke-37 berbanding minggu epid ke-36.

Katanya, berbanding minggu epid ke-36, kes pemantauan jangkitan mata juga meningkat sebanyak 33.3 peratus pada minggu epid ke-37.

Bagaimanapun, tiada peningkatan kes asma dilaporkan, katanya.

"Bagi pemantauan kes di fasiliti kesihatan di Port Dickson, tidak menunjukkan sebarang peningkatan kes jangkitan mata, URTI dan asma," katanya di sini.

Veerapan dalam pada itu turut menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan aktiviti luar termasuk aktiviti fizikal dan menggunakan penutup hidung dan mulut sekiranya berada di luar premis.

Sehingga 10 malam ini, daerah Nilai mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat iaitu pada paras 206 manakala dua lagi kawasan iaitu Port Dickson dan Seremban masing-masing merekodkan bacaan 188 dan 170.

-- BERNAMA