Seorang pesara memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat ini bahawa beliau tidak mengetahui lima keping cek berjumlah RM366,000 yang dikeluarkannya itu dibayar kepada Tetuan Lewis & Co yang merupakan pemegang amanah Yayasan Akalbudi milik Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

T. Rajan, 69, memberitahu, cek-cek tersebut hanya ditulis tarikh, jumlah dan tandatangan tanpa nama
penerima diserahkan kepada pengurup wang untuk ditukar kepada mata wang Australia.

Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd Jeffery Ong, Saksi ke-42 itu memberitahu, cek-cek itu telah ditukar kepada matawang Australia kira-kira A$90,000 untuk membayar wang pendahuluan pembelian rumah anak perempuannya yang menetap di Australia.

Ditanya alasan beliau membiarkan ruangan penerima pada cek itu kosong dengan hanya mengisi jumlah, tarikh dan tandatangan sahaja sebelum diserahkan kepada pengurup wang, beliau berkata:

"Saya memang selalu membiarkan kosong ruangan penerima setiap kali menukar wang apabila ingin ke
luar negara dan selalunya saya menyerahkan cek kepada individu bernama 'Omar' daripada kedai
pengurup wang itu."

Tambah Rajan beliau hanya mengetahui Lewis & Co ditulis sebagai penerima cek-cek tersebut apabila dihubungi pihak bank selepas dua minggu menyerahkan cek itu dan beliau mengakui tidak mengetahui siapa Lewis & Co itu.

Sebelum ini Lewis & Co dikatakan menjadi pemegang amanah kepada Yayasan Akalbudi, yang mana Presiden UMNO itu merupakan pengasas, pemegang amanah dan penandatangan tunggal.

Dalam pada itu, dua pegawai bank yang masing-masing dari CIMB dan Maybank yang dipanggil sebagai saksi pendakwaan ke-40 dan saksi ke-41 itu memberitahu mahkamah bahawa transaksi cek daripada syarikat Ekares Sdn Bhd dan Rajan yang kreditkan kepada Lewis & Co pada 2016 adalah tidak menyalahi undang-undang.

Penolong Pengurus Khidmat Pelanggan di Cawangan CIMB Bank Menara Binjai, Sharifah Aspaniza Syed Mustapha, 53, dan Penolong Pengurus di Cawangan Wisma FGV Maybank Berhad, Syahrul Ridzwan Nawawi, 35, berkata, 16 cek daripada Ekares berjumlah lebih RM4.5 juta dan lima cek bernilai RM366,000 daripada Rajan dikreditkan kepada firma guaman itu tidak mencetuskan sebarang amaran Akta Pencegahan Wang Haram Pencegahan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah akan bersambung 24 Mac ini.