Kesaksamaan gender melangkaui daripada sekadar nombor dari segi peluang untuk wanita meningkat maju dalam kerjaya mereka, kata bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz hati ini.

Mana-mana kuota yang kurang daripada 50:50 antara wanita dan lelaki tidak boleh dianggap sebagai saksama, katanya pada ceramah jamuan tengah hari bertajuk: What is gender equality? (Apa Itu Kesaksamaan Gender?) anjuran English Speaking Union of Malaysia di Kelab Golf Diraja Selangor di sini.

Rafidah berkata dalam kesaksamaan gender, apa yang lebih penting adalah aspek kualitatif daripada sekadar nombor dan wanita tidak patut dianggap sebagai hanya "pengisi kuota" berdasarkan gender mereka tetapi apa yang lebih penting adalah kerana mereka setaraf atau lebih berkelayakan.

Menggunakan analogi, beliau berkata apabila membincangkan kesaksamaan gender, adalah salah untuk menyatakan bahawa 2 tambah 2 bersamaan dengan 4 tanpa mengambil kira aspek kualitatif.

"2 tambah 2 bukannya 4 apabila hanya 1 daripada 4 yang berkualiti baik manakala 3 lagi adalah teruk," katanya.

Begitu juga, katanya adalah salah untuk menerima pakai cara berfikir bahawa batasan dan halangan sedia ada yang menghalang wanita daripada mencapai kesaksamaan gender atau dalam mendapatkan lebih banyak wanita untuk mengisi kuota tertentu, mereka perlu menepati standard lelaki.

Audien pada ceramah itu yang kebanyakannya adalah wanita memberikan tepukan gemuruh kepada Rafidah apabila beliau berkata: " Kita wanita adalah lebih baik daripada lelaki".

Di pihak wanita pula, tidak sepatutnya mendesak bagi sesuatu yang mereka tidak layak mendapatnya tetapi meningkat maju berdasarkan merit.

"Wanita sepatutnya menjadi yang terbaik dari segi kredibiliti, kompetensi, kemahiran dan keupayaan," kata Rafidah.

-- BERNAMA