Seorang ibu merayu bantuan pihak-pihak yang berkenaan untuk menuntut semula bayi perempuannya berusia dua bulan yang diserahkan sebagai anak angkat kepada sepasang suami isteri pada September lepas.

Zawanie Ab Rahman, 32, berkata keperitan hidup mendesaknya menyerahkan anak ketiganya, Nur Dynas Hamidah Abdul Qayyum, kepada pasangan itu pada 18 September lepas, tiga hari selepas melahirkannya di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Katanya, pada awalnya beliau tidak meragui langkahnya menyerahkan Nur Dynas ke tangan keluarga angkat itu kerana menginginkan kehidupan lebih baik buat bayi tersebut.

“Saya didatangi oleh sepasang suami isteri di hospital berkenaan setelah mereka mendapat tahu bahawa saya ingin menyerahkan anak saya setelah dia lahir.

“Perkenalan kami pada awalnya diatur seorang rakan Facebook yang saya kenali selama dua tahun," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

“Wanita (ibu angkat) itu memberikan saya cek bernilai RM6,000 walaupun saya tidak memintanya kerana saya bukan berniat menjual anak,” katanya sambil menambah, cek itu bagaimanapun tidak boleh ditunaikan.

Menurut Zawanie, beliau mulai mengesyaki ketelusan pasangan tersebut setelah menerima mesej daripada nombor tidak dikenali menawarkannya untuk menjadi seorang 'biomum'.

Bimbang dirinya kemungkinan tanpa sedar terlibat dalam sindiket jual beli yang dipercayai mensasarkan bayi baru lahir, dia membuat laporan polis.

“Mengejutkan saya, pihak polis memberitahu yang wanita tersebut (ibu angkat anaknya) disyaki adalah seorang yang dikehendaki. Dia disyaki mempunyai rekod jenayah,” dakwanya lagi.

Tambahnya, beliau telah menghubungi pasangan itu yang tinggal di Daerah Timur Laut, Pulau Pinang, namun mereka tidak membenarkannya berjumpa anaknya.

Katanya, bimbang dengan latar belakang pasangan yang masing-masing berusia 37 dan 32 tahun itu, dia kemudiannya membuat lima laporan polis di Pulau Pinang dan Perak dalam tempoh dua bulan.

“Saya dimaklumkan mereka bekerja sebagai doktor dan peguam. Namun semuanya terbongkar apabila saya mendapati wanita itu tidak bekerja manakala lelaki itu kerja biasa sahaja.

"Pasangan itu juga meminta saya membayar ribuan ringgit kepada mereka sekiranya saya ingin mendapatkan anak saya semula,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Batang Padang, Rainnie Amisani, berkata beliau amat kesal sekiranya kes tersebut dibiarkan tanpa sebarang siasatan lanjut daripada pihak berwajib.

Jelasnya, sepanjang 16 tahun bertugas, ini kali pertama beliau berhadapan dengan kes sedemikian yang membabitkan penyerahan anak yang mempunyai unsur sindiket jual beli.

Tambah Rainnie, kes tersebut wajar dikelaskan dan disiasat mengikut peruntukan undang-undang Seksyen 35, Seksyen 37 dan Seksyen 113 Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016 (Akta 1511) yang memperuntukkan mengenai prosedur sebenar penyerahan anak angkat.

"Proses yang betul melibatkan prosedur di mana kami akan meneliti, memeriksa dan memastikan kesahihan latar belakang dan kemampuan keluarga angkat yang akan membesarkan anak berkenaan," katanya.

Dia berpendapat kes itu perlu diberi perhatian pihak berwajib, sambil menambah, beliau berpegang teguh kepada prinsip di bawah Akta Kanak-kanak 2016 yang menginginkan yang terbaik buat kanak-kanak di negara ini.