Rakyat mampu melihat kesan positif daripada usaha berterusan kerajaan ke atas bekalan air dan elektrik di kawasan luar bandar dalam masa satu atau dua tahun ini.

Mengulas mengenai Bajet 2017 yang dibentangkan hari ini, Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S Piarapakaran berkata beliau menjangkakan peningkatan projek air dan elektrik di kawasan luar bandar berikutan kerajaan telah melaksanakan projek berkenaan sejak bertahun-tahun.

Katanya kerajaan serius bagi memastikan kemudahan asas dinikmati oleh semua rakyatnya termasuk di luar bandar dan peruntukan yang diumumkan akan meningkatkan lagi proses yang sedang dijalankan.

Menerusi bajet yang yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat hari ini, kerajaan memperuntukan RM460 juta bagi menyediakan bekalan elektrik di kawasan luar bandar, dengan sasaran 10,000 rumah.

Bajet itu juga memperuntukan RM222 juta untuk projek rawatan air di 42 kampung Orang Asli, program pembangunan ekonomi dan keusahawanan serta penempatan semula kampung di Sungai Ruil, Cameron Highlands, Pahang.

Menurut Piarapakaran, ia juga akan merangsang ekonomi Malaysia di setiap sudut negara untuk tahun-tahun mendatang.

Bagaimanapun, Piarapakaran mencadangkan kerajaan melantik penyelia teknikal di luar bandar bagi memastikan pemilihan semua paip dan tekanan air yang diguna diselaraskan.

Mengenai rancangan tebatan banjir, Pengarah Eksekutif Pusat Alam Sekitar, Teknologi dan Pembangunan Malaysia (CETDEM), Anthony Tan berkata kerajaan harus memperhalusi rancangan itu untuk dimaklumkan kepada orang ramai dan pemegang taruh.

Najib mengumumkan peruntukan RM495 juta untuk meneruskan 69 rancangan tebatan banjir di seluruh negara.

Selain itu, Anthony juga berkata kerajaan harus memberi fokus kepada peruntukan mengenai isu pembalakan dan memulihara flora dan fauna, katanya yang menjelaskan jurang yang ada masih tidak diisi dalam bajet tersebut. - BERNAMA