Portfolio kesejahteraan bandar kini diletakkan di bawah seliaan Kementerian Wilayah, kata menteri berkenaan Khalid Abdul Samad.

Di bawah pentadbiran sebelum ini, ia berada di bawah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang kini dikenali sebagai Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

"Selain pertambahan portfolio itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Pusat Pungutan Zakat-MAIWP juga berada di bawah kementerian saya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri rumah terbuka Hari Raya Pakatan Harapan Parlimen Shah Alam di sini hari ini.

Diminta mengulas lanjut mengenai peranan portfolio kesejahteraan bandar dalam kementeriannya, Khalid berkata perkara itu akan dibawa dalam mesyuarat bersama Ketua Setiausaha kementerian dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Khalid turut mengulangi gesaan agar Anggota Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dilantik atas tiket UMNO meletakkan jawatan masing-masing berbanding berdepan tindakan dipecat.

Khalid berkata kesemua individu berkenaan seharusnya memahami sendiri kedudukan mereka berikutan kerajaan telah bertukar.

Kata Anggota Parlimen Shah Alam itu, meletak jawatan tidak mempunyai prosedur yang rumit kerana ia hanya memerlukan surat peletakan jawatan sahaja tanpa perlu menunggu hingga tamat tempoh lantikan.

"Namun sekiranya mereka menyatakan (perlu) mengikut prosedur, ia hanya alasan semata-mata. Kita tidak mahu mengambil tindakan memecat kerana hendak menjaga maruah mereka," katanya.

-- BERNAMA