DALAM memastikan kebahagiaan rakyat, aspek kewangan bukan satu-satunya yang menjadi keutamaan masyarakat.

Menjelang 2050, kesejahteraan masyarakat sedunia lebih tertumpu kepada aspek tidak ketara seperti keselamatan sosial, kebebasan dan keadilan.

Indeks kesejahteraan rakyat Malaysia meningkat 0.8 peratus pada 2018 kepada 122.4 mata berbanding 121.4 mata pada tahun sebelumnya.

Data oleh Jabatan Perangkaan ini merangkumi beberapa aspek, termasuk pendapatan, pengangkutan, perumahan dan pendidikan.

Astro AWANI menjalankan tinjauan di ibu kota serta menerusi media sosial bagi memahami apa harapan rakyat untuk meningkatkan kesejahteraan sosial negara?




Kos sara hidup

Antara isu yang paling ditekankan adalah berhubung kos sara hidup yang semakin meningkat.

Menurut laporan Jabatan Perangkaan pada Oktober 2018, bilangan rakyat yang menerima gaji dan upah meningkat daripada 8.7 juta pada 2017 kepada 8.8 juta orang pada 2018.

Laporan itu juga mendapati purata gaji dan upah meningkat tujuh peratus daripada RM2,879 pada 2017 kepada RM3,087 pada 2018.

Namun, adakah ini mencukupi buat rakyat dalam keadaan ekonomi semasa?

Satu kaji selidik oleh Emir Research pada 2019 menunjukkan 36 peratus rakyat tidak berpuas hati dengan pendekatan kerajaan Pakatan Harapan dalam menstabilkan harga barang keperluan.

Sementara itu, 22 peratus rakyat kurang pasti berhubung perkara tersebut dan 43 yang berpuas hati.

Kata Zuhair Rosli, seorang mahasiswa yang ditemu bual Astro AWANI, “Untuk tahun 2020, saya percaya semua rakyat Malaysia berharap kos sara hidup dapat dikurangkan, purchasing power dapat ditingkatkan -- RM50 boleh penuh satu troli.”


Perumahan

Tahap kos sara hidup hari ini membawa kepada masalah yang melibatkan perumahan.

Kaji selidik oleh Emir Research menunjukkan hanya 38 peratus rakyat yang berpuas hati dengan pelan kerajaan untuk membangunkan rumah mampu milik.

Kata Zufhaimi Asri, seorang penjawat awam, “Kalau ikutkan, rumah mampu milik kita mampu tengok sahaja, memang tak mampu milik.”

Di seluruh dunia, golongan belia pada zaman ini terpaksa berbelanja lebih tinggi untuk perumahan berbanding mana-mana generasi sebelum ini, berdasarkan kajian.

Berdasarkan laporan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada 2016, hanya 15 peratus daripada bandar-bandar di serata dunia mempunyai rumah mampu milik.


Pengangkutan awam

Hal berkaitan pengangkutan awam turut menjadi fokus rakyat Malaysia terutamanya yang melibatkan golongan orang kurang upaya (OKU).

Menurut Mohamad Salman, seorang peniaga, dia sering menghadapi kesukaran dalam mendapatkan kemudahan pengangkutan apabila melibatkan adiknya yang merupakan seorang OKU.

“Pernah sekali, saya nak pergi ke hospital kerana adik saya sesak nafas. Tiada siapa, teksi ataupun bas yang berhenti untuk bantu,” kata Salman.

“Akhirnya, ada seorang pemandu teksi berhenti. Alhamdulillah, dia tolong. Pengangkutan untuk orang OKU ke hospital memang susah.”

Kata seorang pekerja sektor swasta pula, Cornelius Jeevan, ia lebih wajar untuk membangunkan masyarakat berasaskan pengangkutan awam berbanding kereta atau motosikal.

“Berikan rakyat lebih banyak pilihan dalam pengangkutan awam dan sebaliknya bukan memaksa rakyat membeli kereta, terutamanya apabila perlu membuat pinjaman dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil ini,” kata Cornelius.


Pendidikan

Dalam aspek pendidikan pula, satu pengundian dijalankan di laman sosial Twitter bagi mengetahui pandangan rakyat tentang bagaimana sistem pendidikan negara boleh ditambah baik.



Daripada 6,867 responden, majoriti iaitu sebanyak 58.9 peratus memilih agar sekolah vernakular dimansuhkan.

Pilihan untuk memberi ‘tumpuan seimbang’ kepada semua aspek pula menjadi pilihan kedua paling popular, dengan undian sebanyak 24.3 peratus.



Kesihatan


Astro AWANI turut tertumpu kepada aspek kesihatan yang menjadi isu utama dalam menghadapi penuaan penduduk.

Menurut Jabatan Perangkaan, jumlah warga emas berusia 65 tahun ke atas dijangka meningkat tiga kali ganda menjelang 2040.

Menerusi pengundian Facebook, majoriti daripada lebih 11 ribu responden, iaitu sebanyak 57 peratus bersetuju bahawa perkhidmatan kesihatan negara tidak memuaskan.

Kata Maziah Wan Ismail, seorang suri rumah, beliau berharap jadual semakan kesihatan terutamanya di kawasan PPR, dapat dijalankan dengan lebih kerap.


Nutrisi

Masalah kesihatan yang dihadapi rakyat Malaysia lazimnya berhubung rapat dengan amalan pemakanan.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), satu perlima orang dijangka menjadi obes dalam lima tahun akan datang.



Namun, hasil tinjauan Astro AWANI di media sosial mendapati rata-rata kesedaran mengenai nutrisi dan pemakanan semakin bertambah baik.

Daripada 4.5 ribu responden di Facebook, 68 peratus bersetuju bahawa mereka mempertimbangkan faktor khasiat ketika membuat pilihan untuk makan dan minum.




Tinjauan di Twitter juga mendapati bahawa majoriti, iaitu hampir 60 peratus responden turut mengambil kira aspek nutrisi dalam amalan pemakanan mereka.