Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Kinta Utara akan berhubung dengan pihak JKM Perak berkaitan adik Mohammad Hafiz Ismail yang menjual ulam di Ipoh.

Adik Hafiz mula dikenali ramai selepas gambarnya yang gigih menunggang basikal bersama bakul berisi ulam mula viral di media sosial terutamanya Facebook dan beberapa portal berita perdana.

Menurut pegawai JKM daerah Kinta Utara Noor Hanizah Zulkafli, Hafiz, 12, dipercayai bukan berasal dari Perak dan kini dia dikatakan tinggal bersama seorang wanita yang dikatakan ibunya, Zuraida Zakaria, 28.

Noor Hanizah berkata pihaknya mendapati keluarga ini mempunyai sedikit pemasalahan berikutan status hubungan ibu bapa kandung adik Hafiz masih tidak dapat dikenal pasti.


“Kita memikirkan keselamatan kanakpkanak ini sebab kita tidak tahu dia berasal daripada mana. Mungkin beliau daripada negeri lain dan mungkin ada keluarga. Kami akan berhubung dengan pihak JKM negeri yang berkaitan untuk lihat sama ada ada kehilangan kanak-kanak dan sebagainya. Itu tindakan awal daripada JKM yang boleh saya maklumkan,” kata beliau ketika melawat adik Hafiz bersama krew Astro AWANI, hari ini.

Sebelum ini, penduduk kampung di sekitar kawasan kediaman mengadu bahawa Zuraida mempunyai sedikit kecelaruan emosi dan mental yang tidak stabil justeru menimbulkan kerisauan dari segi penjagaan keluarganya.

Noor Hanizah berkata pihaknya akan menguruskan perkara berkenaan dan merujuk keluarga tersebut kepada sesi kaunseling sekiranya ia diperlukan.

Ditanya mengenai kemungkinan keterlibatan adik Hafiz dalam isu eksploitasi kanak-kanak sebagai buruh kerja, Noor Hanizah mengulas bahawa pihaknya tidak boleh mengandaikan sebarang kenyataan kerana ianya perlu disiasat secara telus dalam beberapa peringkat.

Kes tersebut akan disiasat di bawah Akta Kanak-kanak 2001.

Dalam pada itu, Adun Manjoi, Mohd Ziad Mohamed Zainal Abidin berkata pihaknya akan mengambil langkah sewajibnya bagi menyelesaikan kes berkenaan.sot.

“Status Hafiz, saya telah pun memaklumkan kepada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Utara untuk mengesahkan perkara berkenaan dengan rekod dan kedudukan beliau. Kami masih lagi menunggu jawapan PPD Kinta Utara,” kata beliau.