Hubungan antara bandar dan luar bandar perlu diseimbangkan walaupun dilanda proses urbanisasi demi menjamin keselamatan makanan.

Ini kerana, sekiranya pertumbuhan salah satu daripadanya terganggu, ia mungkin menggugat keseluruhan rantaian tersebut.

Itu antara rumusan yang didapati daripada sesi perbincangan panel berhubung hubungan antara bandar dan luar bandar dari aspek pembangunan dan juga keselamatan makanan di Forum Bandar Sedunia (WUF) kesembilan yang sedang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Salah seorang daripada ahli panel, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Sallehuddin Hassan berkata kerajaan sentiasa komited untuk memastikan hubungan antara bandar dan luar bandar terus seimbang.

"Apa yang dibincangkan dalam panel tadi mengenai menggunakan urbanisasi untuk menjamin keselamatan makanan harus diterokai.

"Kita tidak boleh anggap urbanisasi menggugat usaha menjamin keselamatan makanan," katanya.


Sesi tersebut diadakan pada hari keenam WUF yang bakal berakhir pada Selasa.