Pihak anggota keselamatan akan memastikan keselamatan sentiasa terjamin pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata anggota keselamatan sentiasa bersiap siaga untuk memastikan PRU14 berjalan lancar dan menyeru agar pihak yang tidak bertanggungjawab berhenti memperlekehkan keupayaan mereka dalam menjalankan tugas.

"Dari segi keselamatan menjelang PRU14 ini, saya bersama-sama (Menteri Dalam Negeri) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjamin dan membuat apa sahaja yang patut untuk memastikan rakyat dapat menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

"Dengan adanya kerjasama daripada orang ramai, kita akan melalui PRU14 dengan keadaan yang aman dan lancar di Sabah," katanya selepas menghadiri Demonstrasi Keupayaan ATM di Kem Paradise, Kota Belud, hari ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Salleh Said Keruak; Panglima Angkatan Tentera,Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Mohd Radzi Abdul Rahim dan Panglima Tentera Udara, Tan Sri Affendi Buang.

Seorang pelajar SMK Tambulion, Azrina Lusi, 16, mencuba salah satu senjata yang dipamerkan di gerai pameran sempena Demonstrasi Keupayaan ATM di Kem Paradise Kota Belud di Kampung Tambulion hari ini. - BERNAMA
Hishammuddin, yang juga merangkap Menteri Tugas-tugas Khas, menggesa orang ramai untuk tidak memandang rendah dengan isu yang berlaku di Marawi di Filipina sebelum ini.

"Kita tidak akan rasa kesannya sekiranya kita tidak ambil tindakan yang proaktif. Jangan ambil mudah tindakan yang kita lakukan ini, mungkin orang tidak tahu tetapi hendak wujudkan keadaan yang selamat kita harus memastikan pertahanan negara berada dalam keadaan di tahap yang tinggi.

"Kami menuntut komitmen, keikhlasan, kejujuran dan kerjasama daripada semua pihak," katanya.

Sementara itu, program Demonstrasi Keupayaan ATM yang julung kali diadakan dalam skala besar di Sabah menyaksikan demonstrasi melibatkan aset ATM milik Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang ditempatkan di Sabah.

Demonstrasi tersebut bertujuan untuk memperlihatkan tahap keupayaan dan kesiagaan aset-aset ATM dalam melaksanakan misi serta berhadapan dengan apa jua bentuk ancaman keselamatan.