Keriangan 11 pelajar yang sedang berkelah di Air Terjun Jeram Penitih, Seri Bandi di sini berakhir tragedi semalam apabila salah seorang daripada mereka mati lemas.

Dalam kejadian jam 3.30 petang Sabtu, Ahmad Amirul Ahmad Rahimi, 17, pelajar Sekolah Menengah Seri Bandi, hilang selepas membuat terjunan dari tebing batu.

Rakan mangsa, Mohammad Khairulnizam Hirdayanto, 17, berkata mereka pergi ke kawasan air terjun itu untuk meraikan tamat peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) beberapa hari lalu.

Menurutnya, mereka bermandi-manda selepas selesai melakukan persiapan untuk memanggang ayam.

Mangsa melakukan terjunan pertama dari tebing dan mengulanginya di kawasan lebih tinggi, bagaimanapun, katanya, rakannya itu tidak timbul selepas beberapa minit.

Pada mulanya, rakan lain menyangka mangsa masih menyelam dan hanya bergurau.

Bagaimanapun, selepas gagal mengesan Ahmad Amirul, seorang daripada mereka melaungkan azan.

“Semasa ditemui, dia memang dah tak sedarkan diri, muka pun pucat. Kami cuba juga buat CPR, tetapi tak berjaya,” kata Mohammad Khairulnizam.

Mereka kemudiannya meminta bantuan penduduk kampung dan menghantar mangsa ke Klinik Kesihatan Seri Bandi.

Bagaimanapun, mangsa disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai kesihatan di klinik berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman Deputi Supritenden Baharudin Abdullah mengesahkan menerima laporan berkenaan kejadian itu.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat.