Kestabilan politik dan keharmonian hidup masyarakat berbilang kaum menyumbang kepada kemajuan sosio ekonomi negara.

Yang Dipertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Shah bertitah, pendekatan wasatiyyah yang diamal umat Islam hari ini turut menjadi asas menjamin perpaduan dan kecemerlangan negara.

Titah baginda, umat Islam juga perlu memperkukuhkan persaudaraan serta mengharmonikan pandangan berbeza dalam menilai sesuatu perkara.

"Akhir-akhir ini, Beta melihat terdapat segelintir penganut Islam yang mudah terpengaruh dengan fahaman luar dan asing yang dibawa masuk ke dalam masyarakat kita.

"Fahaman ini didapati ada yang tidak sesuai dengan pegangan Ahlu Sunnah wal Jamaah dan amalan lazim umat Islam negara ini," titah baginda.

Baginda bertitah semasa merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1435 Hijrah di sini.

Turut hadir, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, para menteri Kabinet dan perwakilan negara luar.

"Wasatiyyah Tonggak Kesatuan " dipilih sebagai tema Maulidur Rasul tahun ini.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, Kerajaan akan mengawal dan mencegah sebarang bentuk unsur pluralisma yang bercanggah dengan agama Islam.

Pengembangan propaganda fahaman akhir-akhir ini disifatkan menggugat keimanan umat Islam sendiri.

"Gerakan untuk mencabar keutuhan kesusilaan ajaran Islam dapat kita lihat dengan jelas menerusi penganjuran beberapa program yang mempromosikan kebebasan melampau oleh kumpulan yang bertopengkan perjuangan hak asasi manusia," jelasnya.

Dalam pada itu, kata Jamil, tema Maulidur Rasul tahun ini dipilih selari dengan amalan Kerajaan yang sudah lama mengamalkan prinsip wasatiyyah.

"Ia membawa dimensi baru kepada kita untuk menyedari bahawa nilai-nilai kesederhanaan perlu dijadikan asas kepada perpaduan negara.," ujarnya.

Sembilan tokoh dipilih sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul 2014.