Yayasan Ehsan Seputeh (YES) bersungguh-sungguh mahu menjadikan pelajar di Akademi Tahfiz Darul Abrar sebagai individu yang bukan sahaja celik Al-Quran tetapi mampu bersaing dengan pelajar di sekolah biasa.

Pengerusinya, Datuk Mustapa Kamal Mohd. Yusoff berkata, usaha itu dilihat salah satu inisiatif dalam melahirkan generasi yang seimbang daripada segi akademik dan kerohanian.

“Sesetengah masyarakat berpendapat sekolah tahfiz hanya mementingkan ilmu keagamaan dan menolak tepi ilmu keduniaan tetapi sepatutnya kedua-dua aspek tersebut mesti diseimbangkan.

“Saya melihat potensi akademi ini dalam membentuk insan yang cemerlang di dunia dan akhirat, jadi YES benar-benar serius untuk membangunkannya,” katanya.

Mustapa berkata demikian ketika melawat akademi tersebut di sini.

Turut hadir, Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Mariam Minhat; Ketua Pegawai Eksekutif YES, Lila Ruzaini Mohd. Hussain dan Naib Ketua Wanita Bahagian Seputeh, Norkhaizan Osman.

Akademi Tahfiz Darul Abrar yang sudah dua tahun beroperasi itu terletak di Taman Halimahton, Jalan Klang Lama.

Akademi itu sebelum ini merupakan sebuah surau tinggal sebelum ia dijadikan akademi oleh YES.

Menurut Mustapa Kamal, setakat ini jumlah pelajar adalah seramai 25 orang berumur antara tujuh hingga 16 tahun dan dibantu oleh empat tenaga pengajar.

“Kita berharap usaha YES mendapat sokongan daripada pelbagai pihak dengan memberi bantuan dana agar kita dapat memperbesar dan meningkatkan kemudahan bagi menambah bilangan pelajar yang ingin mendaftar,” jelasnya.

Walau mengakui mendapat banyak tentangan sebelum ini sebelum lokasi itu dapat dijadikan akademi, Mustafa tetap optimis dalam usahanya selama ini.

Sementara itu, Guru Besar Akademi Tahfiz Al Abrar, Zainal Abidin Mustaffa berkata, penubuhan akademi tahfiz di tapak surau lama itu dapat mengelak kegiatan tidak sihat yang dijalankan pihak tidak bertanggungjawab sebelum ini.

“Surau lama ini telah dijadikan pusat kegiatan berunsur sesat seperti bomoh dan kepercayaan karut, jadi YES membangunkan tempat ini untuk tujuan yang lebih berfaedah.

“Pemilihan kawasan ini bagi menjalankan aktiviti pembelajaran adalah sangat selesa dan bersesuaian di samping dapat menggalakkan masyarakat sekitar untuk turut sama melakukan ibadah memandangkan sebelum ini surau itu tidak digunakan,” katanya.

YES mendapat sokongan daripada badan lain seperti Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF).

Ia termasuk dalam memberikan khidmat nasihat dari segi teknikal bagi menubuhkan sebuah pusat dialisis.

Jelasnya, YES juga bercadang menubuhkan sebuah pusat sehenti atau institusi bagi anak-anak golongan gelandangan.

YES akan dilancarkan secara rasmi pada malam 14 September depan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Taman Tema Desa Waterpark.