Ketagihan dadah, jika tidak dibendung, negara kerugian tenaga belia - Muhyiddin

Astro Awani
April 30, 2019 14:59 MYT
Muhyiddin bersama Alwi (kiri) dan Zulkifli (kanan) menunjukkan Pelan Tindakan Jom Hijau AADK 2019-2021 pada perasmian Simposium Sains Penagihan Dadah Kebangsaan 2019 hari ini. --fotoBERNAMA
Seramai 85,575 orang belia berumur antara 19 dan 39 tahun dikesan menjadi penagih dadah sejak tahun 2014 hingga 2018, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Jumlah tersebut adalah 73.6 peratus daripada 116,206 orang penagih yang dikesan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi tempoh lima tahun berkenaan.
"Golongan belia adalah golongan yang paling ramai terlibat penyalahgunaan dadah. Jika ia tidak dibendung, negara kita akan mengalami kerugian tenaga belia.
"Mereka yang seharusnya produktif membangunkan negara, terpaksa menanggung pelbagai masalah sosial akibat penyalahgunaan dadah," katanya pada majlis perasmian Simposium Sains Penagihan Dadah Kebangsaan di Dewan Seri Akasia, Ibu Pejabat AADK, di sini, hari ini.
Muhyiddin berkata, trend penyalahgunaan dadah di negara ini konsisten dengan trend dunia dan serantau.
"Daripada Januari hingga Disember lepas, dadah jenis methaphetamine seperti syabu dan pil kuda adalah yang paling banyak disalah guna iaitu sebanyak 61.9 peratus daripada keseluruhan dadah.
"Ia diikuti dadah jenis heroin sebanyak 23.3 peratus. Dan trend ini agak berbeza daripada tahun 2017 yang mana heroin lebih banyak digunakan berbanding methamphetamine," katanya.
Dalam konteks ini, tegas Muhyiddin, peranan keluarga amat penting bagi mencegah golongan remaja daripada terlibat dengan gejala dadah.
Katanya, banyak kajian menunjukkan pengawasan dan sikap mengambil peduli tentang aktiviti anak-anak serta anggota keluarga boleh mencegah mereka daripada terjebak gejala berisiko.
Menurutnya, antara usaha memerangi dadah ialah dengan membuat pengekalan kepulihan klien Orang Kena Pengawasan (OKP) di dalam komuniti.
"Berdasarkan pemantauan dan penilaian AADK, didapati kadar kepulihan bekas-bekas klien yang telah menjalani rawatan dan pemulihan dalam komuniti untuk tempoh dua tahun, adalah seramai 8,449 orang atau 55 peratus daripada 15,249 OKP yang dinilai.
"Ini melebihi sasaran 40 peratus yang telah ditetapkan dalam Petunjuk Prestasi Utama kementerian ini bagi tahun lepas," katanya.
Muhyiddin berkata untuk membantu bekas penagih dadah pulih sepenuhnya, stigma terhadap penagih dadah yang telah dirawat harus dikikis.
Pada tahun lepas sahaja, tambahnya, seramai 4,654 orang klien dibebaskan dari pusat pemulihan.
"Untuk mengekalkan kepulihan dan membolehkan mereka diterima masyarakat, sokongan komuniti setempat amat penting dalam menerima mereka ini agar tidak mengulangi penagihan apabila merasakan diri mereka tersisih.
"Pencegahan penagihan berulang antara komponen rawatan dan pemulihan dadah yang penting. Statistik menunjukkan sejak tahun 2014 hingga Disember lepas, hanya 25 peratus kes dikesan merupakan penagih dadah berulang," katanya.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Ketua Pengarah AADK Datuk Seri Zulkifli Abdullah.
#AADK #Belia #Dadah #Jom Hijau #Kementerian Dalam Negeri #masalah sosial #Muhyiddin Yassin #Pelan Tindakan #remaja #Syabu