Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak bakal mempengerusikan Jawatankuasa Kabinet bagi menangani isu jenayah siber, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pelantikan itu bersesuaian dengan masalah ketagihan digital di kalangan masyarakat ketika ini yang disifatkan kuat dipengaruhi gajet dan internet.

"Gajet membawa kebaikan dan keburukan kepada masyarakat. Tanda-tanda ketagihan internet ialah rasa kecewa, serabut dan menjadi marah jika tidak dapat melayari internet.

"Mereka yang ketagih ini akan banyak berfikir tentang apakah yang sedang berlaku di dalam internet dan bukannya apa yang berlaku di depan mata atau realiti sebenar," kata Ahmad Zahid pada sesi Town Hall (sesi dialog) Majlis Sosial Negara ‘Menangani Kebejatan Sosial Cegah Sebelum Parah’ di sini.

Menurut beliau yang juga Menteri Dalam Negeri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menerima sebanyak 2,341 aduan dalam tempoh empat bulan tahun ini, bermula Januari sehingga April 2017.

Antaranya melibatkan aduan jelik, palsu, lucah dan fitnah sebagai empat kategori aduan yang paling tinggi diterima.

Jenis aduan lain adalah pemerasan seksual, penggodaman, penipuan internet, pembelian dalam talian dan mengancam.

Dalam pada itu, katanya, SKMM telah merekodkan jenis kes jenayah siber yang terbesar pada 2014 hingga 2015 adalah mengenai kes e-perdagangan berbanding kes jenayah siber lain seperti penipuan telekomunikasi, memancing data (phishing), penggodaman dan harta intelek.

Kes jenayah e-perdagangan juga telah menunjukkan peningkatan mendadak iaitu sebanyak 4,087 kes pada 2015 berbanding 2,018 kes pada 2014, katanya.