Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru umat Islam di negara ini supaya bersatu serta mengenepikan segala perbezaan politik bagi mewujudkan budaya Quranik dalam ummah.

Katanya, kepimpinan ulama mahupun pemimpin politik perlu memainkan peranan masing-masing bagi mengajak umat Islam supaya bersatu dan menjadikan budaya Quranik iaitu al-Quran serta hadis sebagai rujukan utama dalam setiap sudut.

“Semua pihak perlu menjadikan al-Quran sebagai tapak Tasawwur yang visinya jauh berpandangan ke hadapan dan akan menentukan ummah bukan untuk tiga hari atau 30 tahun tapi untuk jangka masa panjang.

“Bila akal Quranik dalam kalangan umat Islam dapat dibentuk, sekaligus mewujudkan sahsiah atau keperibadian Quranik, akhirnya ummah Quranik dapat diwujudkan,” katanya ketika berucap pada perasmian Majlis Hafazan dan Tilawah dan al-Quran Peringkat Kebangsaan di Dewan Seri Negeri malam ini.

Turut hadir, Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron dan isterinya, Datin Seri Fadilah Abdullah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Majlis tilawah dan menghafaz itu berlangsung selama enam hari bermula semalam sehingga 8 April ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, antara perkara yang mengancam perpaduan rakyat masa kini adalah perbezaan fahaman dalam kalangan umat Islam serta penyalahgunaan media sosial seperti penyebaran berita palsu, provokasi, fitnah dan sebagainya.

“Kemajuan teknologi maklumat ini hendaklah digunakan sebaik-baiknya yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Justeru itu, beliau memberitahu, masyarakat perlu bijaksana dalam menyaring serta menapis segala maklumat yang disebarkan.

Jelasnya, ia seiring dengan tema majlis Tilawah dan menghafaz al-Quran peringkat kebangsaan kali ini iaitu `Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah'.