Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo pada Sabtu menegaskan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan memastikan keterlibatan rakyat dan ketelusannya sebagai asas kepimpinan baharu demi menjadikan negara terus gemilang serta dihormati di persada antarabangsa.

"Teras-teras kejayaan negara harus sentiasa dipelihara dan dilindungi berpaksikan kepada prinsip-prinsip Rukun Negara.

"Teras kejayaan negara Malaysia berasaskan kepada kedamaian, kesejahteraan, perpaduan, kesetiaan kepada Raja dan Negara, semangat toleransi tinggi dan semangat patriotisme jitu.

"Apabila teras ini kukuh, negara akan sentiasa mencapai kejayaan, keharmonian dan kesejahteraan," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018 di Padang Kota Lama di sini malam tadi.

Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018 disempurnakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pada majlis itu juga, Dr Mahathir serta barisan anggota Jemaah Menteri dan barisan kepimpinan negara yang baharu dijemput ke atas pentas untuk diperkenalkan kepada rakyat secara lebih dekat.

"Harapan saya, di sinilah kita eratkan perkenalan, persefahaman dan jalinan hubungan yang kukuh antara pemimpin dengan rakyat dalam semangat gelora patriotisme dan cintakan negara kita," kata Gobind.

Beliau berkata, program berkenaan juga penuh bersejarah kerana setelah sekian lama, satu acara rasmi negara paling signifikan iaitu Pelancaran Bulan Kebangsaan 2018 dapat dilaksanakan di Pulau Pinang yang sudah lama menantikan peluang itu.

Sementara itu, Gobind turut mengajak rakyat Pulau Pinang dan seluruh warga Malaysia di setiap negeri untuk bersama-sama menyertai program-program telah dirancang ke arah meningkatkan lagi semangat patriotisme, perpaduan dan negara.

Tiga program utama akan dilaksanakan bagi menyambut Hari Kebangsaan iaitu Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang di Pulau Pinang, Acara Perbarisan Hari Kebangsaan yang akan diadakan pada 31 Ogos di Dataran Putrajaya, serta Sambutan Hari Malaysia yang akan disambut pada 16 Sept di Kota Kinabalu, Sabah.

-- Bernama