Keputusan pertama peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tahun ini yang dilihat tidak memenuhi sasaran disifatkan berpunca daripada kelemahan semua pihak.

Naib Yang Dipertua, Mimbar Permuafakatan Ibubapa Malaysia (MAPIM) Selangor, Khamarulazlan Mohamad Hanafiah berkata, faktor utama situasi itu dilihat berpunca daripada kaedah pelaksanaan PT3 yang masih kabur sehingga guru juga masih tidak jelas dengan kaedah pelaksanaannya.

"Segala permasalahan yang berlaku tidak boleh diletakkan di bahu guru, namun semua pihak baik dari pembuat dasar iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia, Lembaga Peperiksaan Malaysia dan semua yang terbabit harus berbincang bersama.

"Kita lihat apa juga ketirisan yang berlaku dapat ditambah baik demi pembangunan pendidikan yang lebih berkualiti pada masa akan datang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Khamarulazlan mengulas keputusan pertama PT3 yang mencatatkan kemerosotan mendadak jumlah pelajar di sekolah ternama negara yang sering kali mencatatkan keputusan semua A dalam mata pelajaran yang diambil.

Bagaimanapun, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan di dalam sebuah portal dilaporkan berharap pihak sekolah tidak menyalahkan perubahan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sekiranya keputusan PT3 yang diumumkan tidak seperti yang dijangkakan.

Dalam pada itu kata Khamarulazlan, PT3 pada tahun ini boleh disifatkan sebagai kurang memuaskan dari segi objektifnya kerana keputusan peperiksaan yang tidak begitu baik.

"Kelewatan pengesahan pelaksanaan kaedah PT3 yang hanya diumumkan pada bulan Mei tahun ini turut menjadi penyumbang kepada kelonggaran pelaksanaan PT3.

"Perbezaan ketara PT3 dengan Penilaian Menengah Rendah (PMR) ialah soalan PT3 disediakan Lembaga Peperiksaan Malaysia, tetapi set soalan akan dipilih, dicetak, disimpan dan ditanda oleh setiap sekolah sekali gus akan membuka ruang kepada ketirisan pelaksanaan PT3 kerana hakikatnya PT3 ialah peperiksaan penilaian umum.

"Terdapat juga kecacatan dan tidak seragaman pada aspek kualiti percetakan kertas peperiksaan sehingga menyebabkan para pelajar tidak dapat menjawab dengan betul kerana set kertas peperiksaan dicetak sendiri oleh pihak sekolah.

"Ramai tenaga pengajar juga menyarankan proses penandaan kertas peperiksaan ditanda oleh guru dari berlainan sekolah bagi memastikan integriti keputusan yang lebih telus," jelasnya.

Bagaimanapun, jelasnya, berdasarkan maklum balas dalam kalangan guru dan ibu bapa, PT3 dilihat lebih baik berbanding PMR kerana ia menekankan kepada aspek Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

"Namun kelompangan pada aspek perlaksanaan di antara pembuat dasar dan perlaksana harus ditambah baik untuk peperiksaan tahun hadapan bagi memastikan segala kekurangan yang berlaku pada tahun ini diatasi segera," katanya.

Sebanyak 453,413 calon menduduki PT3 yang julung kali diadakan di 2,608 pusat peperiksaan seluruh negara, bermula daripada 13 sehingga 16 Oktober lepas.