Ketua Cawangan BDC Sandakan, Datu Gulam Datu Hiya bersama 168 ahli cawangan secara rasminya mengisytiharkan keluar UMNO pada Jumaat.

Menurut Datu Ghulam, keputusan itu dibuat bagi menyertai perjuangan bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal.

Katanya, tindakan menggantung keahlian UMNO Datuk Seri Shafie ketika beliau mengerjakan umrah adalah tindakan kejam.

"Beliau sahaja yang boleh diharap dan sangat prihatin pada orang di negeri Sabah ini. Kalau bukan beliau siapa lagi. Maka kita memang membela beliau, apabila beliau diketepikan dan dihina, kami tak akan biarkan beliau keseorangan.

“Jika beliau buat parti baru di Sabah pun, kami akan menyokong dan membantu beliau,” katanya kepada pemberita.

Pada 4 Julai lalu Shafie mengumumkan keluar UMNO selepas 10 hari digantung keahlian daripada parti.