Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak, Senior Asisten Komisioner (SAC) Datuk S. Dev Kumar dan Ketua JSJ Sabah, SAC Datuk Salehhudin Abdul Rahman merupakan antara 20 pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlibat dalam pertukaran jawatan.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad, dalam kenyataan malam tadi berkata, semua pertukaran itu berkuasa kuasa 14 Mei ini.

Mendahului senarai adalah Dev Kumar yang bertukar ke Bukit Aman sebagai Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti dengan memangku pangkat Deputi Komisioner (DCP).

Beliau menggantikan Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, DCP Hashim Ali yang akan ditukar sebagai Timbalan Pengarah (Agama) dan Kaunseling), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

Kekosongan jawatan Dev Kumar pula akan diisi oleh Timbalan Ketua JSJ/Perundangan Sarawak, ACP Denis Leong Soon Kuai dengan memangku pangkat SAC.

Sallehhudin akan bertukar ke jawatan Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan) Jabatan Pengurusan, Bukit Aman dan tempatnya akan disi oleh Timbalan Ketua Jabatan JSJ/Perundangan Sabah, ACP Jauteh Dikun dengan memangku pangkat SAC.

Selain itu, Timbalan Ketua Cawangan Khas II Pahang, ACP Ibrahim Saad akan memegang jawatan sebagai Ketua Cawangan Agensi Penguatkuasaan (Bahagian Perisikan), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya yang baharu dengan memangku pangkat SAC.

Turut bertukar jawatan ialah Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Supt Habibi Majinji yang bertukar jawatan kepada Penolong Pengarah (Kesejahteraan/Organisasi) JIPS Bukit Aman dengan memangku pangkat ACP.

Selain itu, Ketua Polis Daerah Tapah, Perak, Supt Som Sak Din Keliaw akan bertukar ke jawatan Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (Perancangan Strategik) Pulau Pinang dan memangku pangkat ACP.

Tempat beliau akan diambil alih Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kuala Muda, Kedah, DSP Wan Azharuddin Wan Ismail dengan memangku pangkat Superintenden (SUPT).

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Supt Ismadi Borhan akan memegang jawatan sebagai Ketua Polis Daerah Serdang, Selangor yang baharu dengan memangku pangkat ACP.

Timbalan Ketua Polis Daerah (Operasi) KLIA, Supt Mohamed Mokhsein Mohamed Zon ditukar sebagai Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Selangor.

Juga terlibat dalam pertukaran ialah Supt Perkhidmatan (Rekod Personel), Cawangan Perkhidmatan Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Supt Low Kim Piew yang akan bertukar ke jawatan ACP Task Force Modern Policing Bahagian Dasar Sumber Manusia, Jabatan Pengurusan Bukit Aman dengan memangku pangkat ACP.

Pegawai Turus Pematuhan (Zon A) JIPS Bukit Aman, Supt Thaipul Bahri Mokhtar pula akan bertukar ke jawatan Penolong Pengarah JIPS (Tadbir Urus/Kepolisan Am) Bukit Aman dengan memangku pangkat ACP.

Timbalan Komander (Kepolisan Am), Unit Tindakan Khas (UTK), Pasukan Gerakan Khas (PGK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Kententeraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Supt M.V. Srikumar Madhavan Nair akan bertukar jawatan sebagai Timbalan Komander (Operasi) UTK PGK KDNKA Bukit Aman dengan memangku pangkat ACP. -- Bernama