Ketua Menteri Sarawak Datuk Abang Johari Tun Openg mengucapkan terima kasih kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kenyataannya untuk mengembalikan kuasa autonomi Sarawak dan Sabah.

"Terima kasihlah Datuk Seri Anwar kerana sedikit sebanyak memberi perhatian kepada kerajaan kita,” kata beliau pada Majlis Penyerahan Sumbangan Majlis Islam Sarawak, di sini, sebentar tadi.

Abang Johari bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kenyataan tersebut.

Dalam satu sesi temu bual dengan Oriental Daily semalam, Anwar memaklumkan, kerajaan Pakatan Harapan (PH) komited untuk mengembalikan kuasa autonomi Sarawak dan Sabah sejajar dengan Perjanjian Malaysia 1963.

Terdahulu, Abang Johari mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.4 juta untuk membina tiga pusat aktiviti Islam di negeri ini, termasuk membangunkan pendidikan bagi tujuan mengembangkan syiar Islam.

Jelasnya, peruntukan itu juga untuk membina masjid dan surau seluruh Sarawak.

“Ia membuktikan pengurusan zakat Tabung Baituimal Sarawak dan Majlis Islam Sarawak (MIS) diselia dengan baik.

“Ini juga menggambarkan betapa kita berjaya menolak perpecahan dalam kalangan umat Islam,” ujarnya.

Abang Johari juga mahu umat Islam di Sarawak terus menjadikan aspek perpaduan melaksanakan tugas membantu masyarakat kurang berkemampuan termasuk orang bukan Islam.

Pada majlis itu, sebanyak 1,444 masjid dan surau dari seluruh negeri Sarawak menerima sumbangan tahunan MIS.