Ketua Menteri Chow Kon Yeow percaya Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan melakukan yang terbaik bagi memastikan kerja-kerja pembinaan Lebuhraya Berkembar di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong dekat sini boleh disambung semula dengan keadaan selamat.

Beliau berkata jurutera akan melihat semula reka bentuk projek itu dan membuat pembetulan sekiranya diperlukan selepas arahan memberhentikan kerja oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) ditarik balik.

"Tugas seorang jurutera apabila mereka bentuk apa-apa struktur akan mengambil kira banyak faktor. Dalam kes ini (projek Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus) termasuk keadaan tanah, cerun, sistem perparitan dan lain-lain yang boleh membantu seorang jurutera mereka bentuk struktur.

"Jadi, kita menunggu respon daripada jurutera untuk memberi reaksi terhadap apa yang dinyatakan oleh profesor dari USM (Universiti Sains Malaysia) itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sistem Amaran Awal (EWS) Automatik milik Hospital Adventist, di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pakar Tanah Runtuh Pengurusan Bencana dan Hakisan Tanah dari USM Prof Dr Habibah Lateh yang menyatakan projek lebuh raya berkembar itu dikenalpasti sebagai berisiko berikutan jenis tanah di kawasan itu yang peroi dan tidak sesuai untuk sebarang pembinaan.

Habibah berkata Kerajaan Negeri perlu membuat kajian terperinci jika mahu meneruskan projek berkenaan.

Mengenai kelewatan projek itu berikutan arahan memberhentikan kerja pembinaan selepas kejadian tanah runtuh itu, Chow berkata pihaknya tidak bimbang sekiranya projek berkenaan disiapkan tidak mengikut jadual.

"Terpulang kepada DOSH untuk membuat keputusan. Seperti yang berulang kali saya katakan, apabila kerja dihentikan, ia tidak bermakna anda telah menghentikan kerja sepenuhnya. Terdapat komponen kerja yang perlu dilakukan bagi memelihara keselamatan di kawasan berkenaan.

"Saya fikir kita tidak perlu bimbang sekiranya ia lewat tiga bulan, enam bulan, selagi ia dijamin selamat apabila siap," katanya.

Projek Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus, yang telah dimulakan pada 2016 dilaksanakan oleh tiga pihak sebagai langkah penjimatan termasuk MBPP, PLB Land Sdn Bhd dan Geo Valley Sdn Bhd dan dijadual siap pada 2020.

Kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan projek Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus pada pukul 1.56 tengah hari Jumaat lepas menimbus 13 kontena dan rumah kongsi penempatan pekerja projek.

Setakat ini, sembilan mayat telah ditemukan, empat cedera dan seorang masih hilang dikhuatiri tertimbus dalam runtuhan tanah itu.

-- BERNAMA