Ketua MIC Bahagian Paya Besar yang ditemui mati kira-kira 20 meter daripada kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Hilux miliknya pada Ahad malam, dipercayai terbabit dalam kes kemalangan langgar lari.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali, mayat G Ramesh, 50 tahun, ditemui dua kilometer dari Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) di Gebeng, dekat sini, kira-kira jam 10.50 malam semalam.

"Polis ketika ini mengklafikasikan kes berkenaan sebagai kemalangan maut dan tidak menolak kemungkinan mangsa terbabit dalam kes kemalangan langgar lari," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini hari ini.

Mohamad Noor berkata, hasil bedah siasat oleh pakar forensik di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) juga mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan parah di bahagian kepala.

"Siasatan awal berdasarkan fizikal tempat kejadian, kita percaya berlaku kemalangan jalan raya yang mungkin saya boleh sebut sebagai langgar lari.

"Siasatan sehingga kini tidak mengesan elemen berunsur perbuatan jenayah dan sebagainya. Kita menjalankan siasatan bersabit kemalangan maut di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya

Kenderaan mangsa ditemui kira kira 20 meter dari mayat. Foto ihsan pembaca

Justeru, beliau meminta orang ramai yang melihat kejadian atau mempunyai maklumat supaya menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan.