Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan seorang Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bergelar Datuk bagi membantu siasatan kes penyelewengan pemberian beberapa tender projek pembinaan di Putrajaya bernilai kira-kira RM300 juta.

Lelaki berusia 59 tahun itu ditahan di pejabat syarikat GLC berkenaan pada kira-kira pukul 12 tengah hari pada Rabu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan tersebut.

"Projek tersebut telah dianugerahkan kepada syarikat kontraktor menerusi proses tender namun disebabkan beberapa isu yang sengaja diadakan, kontrator terbabit gagal melaksanakannya.

"Ia kemudian diberi kepada kontraktor pengganti yang dipercayai mempunyai kepentingan dengan Datuk terbabit dan perkara tersebut dipercayai memang telah dirancang dari awal," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Pada masa sama SPRM juga telah melakukan serbuan ke tiga lokasi di sekitar Lembah Klang bagi mendapatkan dokumen berkaitan kes berkenaan.

Lelaki berkenaan juga dipercayai menyalahguna kuasanya bagi memanipulasi beberapa proses projek pembinaan yang sedang dijalankan.