Ketua Pembangkang Selangor dilantik Pengerusi PAC Negeri

Ketua Pembangkang Selangor dilantik Pengerusi PAC Negeri
Rizam Ismail dilantik sebagai Ketua Pembangkang Selangor yang baharu berkuat kuasa 4 Sept, 2018. - Foto Twitter/@Rizamismail81
SHAH ALAM: Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Rizam Ismail dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) bagi negeri itu.

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dalam sidang dewan pada Rabu.

Turut mengganggotai jawatankuasa itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong, ADUN Kota Anggerik Mohd Najwan Halimi dan ADUN Jeram Mohd Shaid Rosli, ketiga-tiganya dari PKR.
Turut dilantik ADUN Sungai Pelek Ronnie Liu, ADUN Kampung Tunku Lin Yi Wei, kedua-duanya dari DAP dan ADUN Hulu Klang Saari Sungib dari Amanah.

Pelantikan itu dibuat susulan kenyataan Amirudin pada Selasa bahawa pihaknya sedia memberi jawatan itu kepada Rizam kerana mengikut peraturan DUN Selangor, jawatan itu secara automatik dipegang ketua pembangkang.

-- BERNAMA