Seorang ketua pemuda sebuah parti politik di bahagian Hulu Selangor didapati positif syabu selepas ditahan dalam satu operasi, Sabtu lalu.

Suspek berusia 30 tahun itu ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Hulu Selangor kira-kira jam 2.15 petang di rumahnya di Batang Kali.

Difahamkan suspek kemudian dibawa ke Pejabat AADK Hulu Selangor di Kuala Kubu Bharu untuk saringan awal air kencing sebelum disahkan positif dadah jenis metamfetamin (syabu).

Pegawai AADK Hulu Selangor, Mohd Ghazali Abdul Rahman berkata, tangkapan dibuat berdasarkan maklumat aduan yang diterima dan pungutan air kencing suspek dilakukan di tandas pejabat agensi tersebut.

Menurutnya, suspek di reman di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu selama 14 hari bermula tarikh dia ditangkap.

"Tiada sebarang rampasan barang dan suspek tiada rekod lampau.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983," katanya.