Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun perlu campur tangan dan mengeluarkan kenyataan yang tepat mengenai insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25 Subang Jaya.

Ini kerana Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy mendakwa Polis Daerah Subang Jaya telah mengeluarkan kenyataan salah dan mencetuskan ketegangan kaum.

Beliau juga menggesa tindakan displin diambil ke atas polis Daerah Subang Jaya itu.

“Kita gesa Ketua Polis Negara kena pastikan kenyataan tersebut dibetulkan dengan segera dan tindakan disiplin ke atas polis Subang Jaya perlu diambil,” katanya kepada media di Lobi Parlimen hari ini.

BACA: Jangan sebar berita negatif kes kuil Sri Maha Mariamman - Noor Rashid

BACA: Insiden Kuil Sri Maha Mariamman: Waytha Moorthy minta rakyat bertenang

Antara yang turut hadir pada sidang media itu adalah Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo; Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran; Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamaruddin Jaffar; Ahli Parlimen Jelutong, R S Rayer; dan Ahli Parlimen Hulu Langat, Hasanuddin Mohd Yunus

Polis Daerah Subang Jaya sebelum ini menerusi laman Facebook telah mengeluarkan kenyataan mengesahkan berlaku pergaduhan antara dua kaum individu India yang membabitkan perpindahan kaum.

Beberapa jam selepas kenyataan itu dikeluarkan, Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor menafikan rusuhan di kuil itu tidak melibatkan pertembungan kaum.

Kata Waytha kenyataan salah dan tidak bertanggungjawab itu menimbulkan ketegangan dalam masyarakat India.

Beliau turut mempersoalkan kelewatan dan tindakan polis dalam mengawal insiden berkenaan.

"Persoalannya adalah mengapa hanya satu kereta peronda Polis Daerah Subang Jaya di tempat kejadian pada jam 4.15 pagi, manakala FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan) pula tiba jam 6 pagi,” soalnya.