Sambutan Hari Raya Aidilfitri setiap tahun biasanya menyaksikan peningkatan tempahan ketupat palas pulut hitam dihasilkan pengusaha di Kampung Awek, Gua Musang, Kelantan.

Bagaimanapun, pada tahun ini, keadaan sedikit berbeza apabila tempahan berkurangan disebabkan sambutan hari raya ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Selain itu, pengusaha turut mengadu terpaksa mengehadkan pengeluaran disebabkan kenaikan harga bahan mentah utama seperti beras pulut dan pulut hitam.

Seorang pengusaha, Mariani Talib, 34, yang mengusahakan perniagaan ketupat sejak 15 tahun lalu, berkata pada kali ini dia hanya mengambil tempahan 600 biji ketupat berbanding 3,000 biji tahun lalu.

"Permintaan kali ini agak berkurangan apabila kebanyakan penduduk Gua Musang menyambut hari raya secara ala kadar berikutan penularan pandemik COVID-19.

“Selain itu, harga bahan mentah juga naik. Beras pulut selalunya tidak sampai RM15 tapi kali ini saya lihat harganya antara RM15 ke RM16 sekilogram. Santan yang dahulu berharga RM10, kini RM12 sekilogram.

"Begitu juga dengan beberapa bahan lain termasuk daun palas, mengalami kenaikan harga. Jadi saya terpaksa hadkan tempahan kerana bimbang jualan tidak mampu memberi pulangan setimpal," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini.

Berkongsi cara penyediaan ketupatnya, Mariani berkata, tempoh masa merebus memainkan peranan bagi memastikan rasa juadah itu lazat.

“Kita rebus dalam dua sehingga empat jam, jadi apabila masak, makan pun tidak berlengas. Biar betul-betul baru boleh angkat dan tampi.

“Kalau rebus seperti biasa saja, nanti ia tidak kering, tidak sedaplah,” ujarnya.

Selain menerima tempahan ketupat pulut hitam, Mariani juga mengambil tempahan tapai pulut yang dibungkus dengan daun getah.