Rakyat Malaysia jangan sesekali lupa dengan keupayaan negara dalam misi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang hampir setahun lepas, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Hishammuddin yang merupakan Pemangku Menteri Pengangkutan semasa pesawat Boeing 777 itu hilang daripada radar pada 8 Mac tahun lepas, berkata kejadian itu telah menyerlahkan keupayaan Malaysia dalam menggerakkan pakar daripada 26 negara dalam operasi mencari besar-besaran dalam sejarah itu.

"Tatkala kita mengingati apa yang kita (telah) lalui sepanjang setahun lepas (mencari MH370), kita jangan sesekali lupa akan kekuatan yang kita telah capai dan cabaran yang akan kita dihadapi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Penerbangan MH370, membawa 12 anak kapal dan 227 penumpang hilang daripada imbasan radar semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing selepas kira-kira sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 8 Mac tahun lepas.

Pesawat itu dijadual tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Pada 29 Jan, kerajaan Malaysia secara rasminya mengisytiharkan ia sebagai kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa dan kesemua 239 anak kapal dan penumpang MH370 dianggap telah terkorban.

Hishammuddin berkata walaupun Malaysia tidak memiliki peralatan canggih untuk menjalankan misi mencari di kawasan begitu luas dan dalam keadaan amat mencabar, imej baik negara telah membolehkan ia menarik perhatian negara lain yang mempunyai teknologi untuk menghulurkan bantuan.

"Saya percaya tidak banyak negara yang mampu berbuat demikian dalam dunia ini dan ini memaparkan hubungan baik negara kita dengan negara lain yang terlibat sehingga mendorong mereka tampil secara sukarela untuk membantu negara kita," katanya.

Sepanjang beliau menjadi Pemangku Menteri Pengangkutan, Hishammuddin berkata Malaysia telah memeterai perjanjian dengan Australia dan China, dua negara terakhir memberikan komitmen untuk meneruskan misi mencari itu, dan sebarang perubahan terhadap persefahaman itu perlu diperjelaskan secara telus.

Katanya insiden itu bukan sahaja membuatkan beliau memikirkan tentang nasib anak kapal dan penumpang MH370 tetapi juga mereka yang terlibat merisikokan nyawa mereka dalam misi mencari pesawat hilang itu.

"Saya bersimpati dengan keluarga MH370 ... bila saya kata keluarga (ia bukan hanya keluarga) penumpang dan anak kapal tetapi juga keluarga kepada semua yang terlibat dalam misi mencari di sana (selatan Lautan Hindi) ... terdapat ribuan mereka di sana," katanya.