Kewangan Islam akan mendapat manfaat besar daripada teknologi kerana ia bertindak sebagai penyama yang hebat, kata Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Ahmad Hizzad Baharuddin.

Beliau berkata, dengan penguasaan pasaran yang agak besar, iaitu lebih 28 peratus daripada jumlah aset kewangan, sudah tiba masanya untuk industri kewangan Islam untuk bersaing dengan kewangan konvensional.

"Industri itu boleh mengeksploit pelbagai peluang yang dibawa teknologi kewangan untuk kekal relevan dan berdaya saing, berikutan pelbagai cabaran yang akan ditempoh di masa depan," katanya kepada pemberita di Forum Fintech Syariah 2017 di sini, hari ini.

Ahmad Hizzad berkata, teknologi adalah alat agnostik yang boleh menjadi perubah penting untuk industri kewangan Islam.

"Teknologi boleh membantu kewangan Islam merealisasikan janjinya dalam perkongsian risiko dan sokongan untuk aktiviti ekonomi yang tulen lagi produktif.

"Dengan peningkatan keusahawanan, teknologi boleh memainkan peranan pemudahan dalam memperluaskan ruang pembiayaan bagi perniagaan kecil dan sederhana," katanya.

Menurutnya, teknologi adalah alat yang berkuasa yang boleh memperluaskan akses dan jangkauan instrumen pembiayaan sosial seperti zakat, wakaf dan sedekah.

"Pendigitan pengumpulan dan pembayaran hasil boleh memulihkan semula instrumen pembiayaan sosial ini," katanya.

Semasa forum tersebut, Persatuan Penasihat Syariah, yang juga penganjur acara itu, telah melancarkan Program Penasihat Syariah Bertauliah (CSA) dan Pengamal Syariah Bertauliah (CSP).

Program CSA itu terbuka kepada mereka yang mempunyai latar belakang undung-undang Syariah manakala program CSP pula terbuka kepada mereka yang mempunyai kelayakan pendidikan tinggi atau profesional berkaitan kewangan Islam atau mempunyai dua tahun pengalaman bekerja berkaitan kewangan Islam.

-- BERNAMA