Kewangan kritikal, Felda rancang jual aset, kurangkan hutang kepada RM6.8b

Kewangan kritikal, Felda rancang jual aset, kurangkan hutang kepada RM6.8b
Mohamed Azmin berkata, melalui kaedah yang diambil, Felda dijangka mengurangkan hutang sebanyak 15 peratus kepada RM6.8 bilion pada akhir tahun ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Felda kini berada dalam keadaan kritikal selepas menanggung hutang berjumlah RM8 bilion sehingga Jun 2018, kata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menurut Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu, syarikat perladangan tersebut telah merancang untuk menjual aset-aset bukan strategiknya seperti di Sabah, Sarawak serta London.

Ujarnya, penjualan aset-aset itu dijangka menyumbang sebanyak RM2.2 bilion.

“Melalui kaedah-kaedah ini Felda dijangka mengurangkan hutang sebanyak 15 peratus kepada RM6.8 bilion pada akhir tahun ini.
“Kaedah ini dapat menampung sebahagian daripada komitmen Felda kepada 112,635 peneroka,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.



Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang bertanya apakah benar aliran tunai Felda hampir kosong dan langkah yang akan diambil kerajaan untuk memastikan nasib peneroka terbela.

Ujar Mohamed Azmin, walaupun situasi aliran tunai Felda kritikal, kerajaan akan terus komited memulihkan kewangan badan itu dalam tempoh dua tahun.

“Kerajaan memberikan komitmen untuk memulihkan Felda secepat mungkin demi kesejahteraan peneroka-peneroka selaras dengan matlamat penubuhan Felda di bawah Akta Kemajuan Tanah 1956,” ujarnya.

Kerajaan akan membentangkan kertas putih pada sidang Parlimen kali ini bagi mengemukakan isu-isu dan langkah-langkah kewangan serta tadbir urus mengenai syarikat perladangan terbesar negara itu.

Mohamed Azmin berkata, pelan pemulihan kedudukan aliran tunai Felda merupakan pelan jangka panjang yang sedang diberikan tumpuan oleh Lembaga Pengarah dan pengurusan Felda yang baharu dilantik pada Julai 2018.