Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan disifatkan sengaja mencari populariti murahan dengan mengeluarkan kenyataan yang meminta Putrajaya membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara.

Exco Pemuda UMNO Malaysia, Armand Azha Abu Hanifah berkata, Khairuddin perlu sedar diri dan mengingatkan dirinya sendiri yang Anwar dimasukkan ke penjara kerana kesalahan yang diputuskan oleh undang-undang negara.

"Khairuddin perlu sedar dia baru dilepaskan daripada tahanan dan terus mengeluarkan kenyataan yang mendesak Putrajaya melepaskan Anwar Ibrahim daripada penjara.

"Siapa dia yang hendak mengarahkan Putrajaya? Kesihan saya melihat cara dia yang sekadar menjadi 'attention seeker' sebaik lepas daripada tahanan.

"Adakah Khairuddin terlupa Anwar didapati bersalah di atas kesalahan jenayah dan dijatuhi hukuman di mahkamah tertinggi negara?" katanya kepada Astro AWANI, di sini hari ini.

Sebelum ini Khairuddin dilaporkan di dalam sebuah portal mengarahkan Kerajaan membebaskan Anwar dengan alasan memeriahkan landskap politik negara selain mengimbangkan Kerajaan sedia ada.

Dalam pada itu Armand turut mempersoalkan tindakan Khairuddin itu yang dilihat cuba menutup kesalahan menyebar beberapa dokumen yang belum sahih mengenai isu semasa negara.

"Dia sudah terlajak tindakan dan menyebar dokumen tanpa kesahihan sesiapa sehingga ditahan. Kini dia mencari gimiik politik untuk mengalih pandangan rakyat, pada pendapat saya kenyataan Khairuddin tidak bijak dan dalam keadaan emosi," jelasnya.

Kata Armand lagi, Khairuddin dinasihat untuk memfokuskan dan mempersiapkan diri untuk kesnya sendiri.

"Dia harus tahu apa hukuman bila menyebarkan maklumat palsu di luar negara hanya untuk menjatuhkan imej negara.

"Cukup-cukuplah mengeluarkan kenyataan yang kurang bijak dan emosi wahai Khairuddin. Dahulu kamu sendiri yang kata Anwar peliwat, malahan mengaku terlibat dalam penerbitan buku '50 Dalil Anwar IbrahimTidak Boleh Jadi Perdana Menteri'...mengapa kini secara tiba-tiba mahu menyokong Anwar pula?" soalnya.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan pertuduhan terhadap Khairuddin dan peguam Matthias Chang adalah tidak tertakluk di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Hakim Datuk Mohd Azman Husin turut memerintahkan kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen untuk dibicarakan.

Mahkamah turut membenarkan Khairuddin dan Matthias dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.