Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Imigresen yang baharu berkuat kuasa Isnin.

Khairul Dzaimee, 47, menggantikan Datuk Jamil Rakon yang sebelum itu mengambil alih jawatan daripada Datuk Seri Mustafar Ali yang kini dilantik sebagai Ketua Eksekutif, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NAFCC) pada 31 Disember lalu.

BACA: Mustafar terajui Pusat Jenayah Kewangan Nasional

BACA: Jamil Rakon dilantik KP Imigresen, ganti Mustafar Ali


Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Alwi Ibrahim dalam satu kenyataan di sini hari ini, berkata Khairul Dzaimee berpengalaman dalam bidang pengurusan keselamatan dan keimigresenan.

Katanya pemegang Sarjana dalam jurusan Strategi dan Diplomasi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu juga bertanggungjawab terhadap dasar berkaitan hal ehwal imigresen, pengurusan pekerja asing dan hal ehwal pendaftaran negara semasa menjadi Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) KDN pada Julai 2018 hingga hari ini.

Khairul Dzaimee memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam pada Disember 1996 di Jabatan Perkhidmatan Awam, diikuti Kementerian Pembangunan Usahawan, Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebelum ke KDN.

Alwi menjelaskan Jamil Rakon dikekalkan sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan KDN selepas mengambil kira pengalaman luasnya dalam bidang pengurusan dan pentadbiran awam serta pembangunan yang diperlukan bagi memperkasa tadbir urus kementerian.

Berkelulusan Sarjana Pengurusan Sumber Manusia dari Australian Institute of Criminology Canberra, Jamil memulakan kerjayanya di Kementerian Pertahanan pada Disember 1992 selain berkhidmat di Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Pendidikan.

Alwi yakin kepakaran dan pengalaman kedua-dua pegawai itu dapat memperkukuhkan pentadbiran KDN dan Jabatan Imigresen.