Program 'shared experience' atau pengalaman bersama bagi anak muda Malaysia merupakan salah satu cadangan yang dikemukakan kumpulan Transformasi Nasional 2050 (TN50) pada sesi perbincangan hari ini.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata, cadangan ini dibuat kerana ingin mengukuhkan integrasi antara rakyat Malaysia.

"Perkara ini masih di peringkat cadangan. Program yang dimaksudkan itu akan dijalankan sebanyak tiga kali iaitu bagi mereka yang berumur 12 tahun, 15 tahun dan 17 tahun," katanya.

Tambahnya, berdasarkan perbincangan yang dijalankan kumpulan-kumpulan ini, rakyat Malaysia didapati mempunyai aspirasi yang tinggi bagi memupuk kebersamaan dalam generasi akan datang.



"Selain daripada keinginan yang tinggi untuk memastikan generasi akan datang bersatu-padu atau cohesive, saya juga lihat belia meletakkan kepentingan kepada pembangunan kelestarian serta kesediaan menghadapi sektor pekerjaan masa hadapan yang lebih mencabar," kata Khairy.

Beliau juga memaklumkan, hasil daripada perbincangan ini akan dibentangkan kepada umum pada awal Oktober nanti pada satu sesi yang akan ditentukan.

"Selepas itu, akan ada satu sesi townhall bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai rumusan kepada perbincangan ini," kata Khairy.

Katanya lagi, dapatan ini akan seterusnya dimasukkan ke dalam Laporan Belia TN50 yang dijangka siap pada Disember ini.

"Ia kemudian akan diberikan kepada Perdana Menteri sebelum dokumen polisi TN50 dibentangkan pada tahun hadapan," jelas Khairy.