Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin enggan mengulas lanjut sokongan Ketua Pemuda UMNO Perlis, Syed Atif Syed Abu Bakar terhadap kenyataan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad berhubung isu gaji yang viral di laman sosial.

"Ini isu yang membuang masa," katanya kepada media ketika diminta mengulas isu tersebut selepas melancarkan Majlis Penutupan BN Job & Career Fair 2016 di Dataran Pavilion di sini hari ini.

Semalam, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyifatkan perkara tersebut tidak perlu dipolitikkan oleh mana-mana pihak.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa menegaskan sebagai sebuah kerajaan, kerajaan akan membelanjakan peruntukan mengikut bajet yang diluluskan Parlimen.

Katanya, kerajaan tahu sama ada mampu atau tidak untuk menanggung sesuatu kos tersebut.

Namun, tegasnya, kebertanggungjawaban wakil rakyat menjadi keutamaan dalam memegang amanah yang telah diberi rakyat menerusi hasil demokrasi, pilihan raya.

Sebelum ini, Syed Atif mengeluarkan kenyataan menyokong Nawawi dan menyifatkan ia merupakan satu kenyataan yang tepat.

"YB Ir Nawawi telah merumuskan secara tepat dan tajam bahawa gaji wakil rakyat dibayar dengan wang kerajaan; bukan wang rakyat. Ini bermakna, kerajaan merupakan suatu entiti yang berasingan. Apa yang perlu difahami, wakil rakyat dipilih oleh rakyat di sesebuah kawasan sebagai wakil mereka dalam kerajaan; dan kerajaan membayar gaji mereka," katanya dalam satu kenyataan Khamis lalu.

Sebelum ini kecioh di laman sosial apabila Nawawi mempertahankan kenyataannya yang menyatakan bahawa kerajaan yang membayar gaji ahli Parlimen dan bukan rakyat.

"(Saya) tak akan tarik balik malah akan lawan," katanya yang membalas komen di Facebook meminta beliau menarik balik kenyataan itu.