Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin sekali lagi menegaskan beliau akan memberi laluan kepada Tengku Mahkota Johor (TMJ) sekiranya pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) itu bertanding jawatan presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Tetapi sebelum menarik diri, beliau mahu melihat TMJ membuat pengesahan untuk bertanding dengan rasmi, katanya.

"Saya mahu menyaksikan pengesahan itu dibuat. Borang pengesahan pencalonan itu perlu diisi seperti yang telah dilakukan oleh Tan Sri Annuar Musa," Khairy berkata pada sidang media Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Negara ke Sukan Asia Musim Sejuk di Sapporo, Jepun.

Annuar, yang merupakan Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), menjadi orang pertama mengesahkan pencalonan untuk bertanding jawatan presiden FAM bagi penggal 2017 hingga 2021, setelah menerima borang pengesahan daripada setiausaha agung pada Isnin.

Khairy juga berkata keputusan Kabinet yang menasihatinya agar tidak bertanding jawatan berkenaan boleh diubah.

"Itu keputusan kabinet. Kalau ia undang-undang...lain la cerita. Kita tak boleh langgar undang-undang.

"Jika ia keputusan Kabinet...ia boleh diubah kepada keputusan Kabinet yang baharu," katanya.

Bagaimanapun, Khairy berkata perkara itu belum timbul lagi kerana beliau masih belum sahkan akan bertanding atau tidak.

-- BERNAMA