Sepuluh individu yang dicari polis susulan kejadian merusuh di lobi bangunan Parlimen, semalam sudah ditahan manakala seorang lagi wanita menyerah diri, hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata sehingga jam 10.15 pagi tadi, kesemua suspek yang jumlah keseluruhannya kini 11 orang berjaya ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

"Kesemua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh," katanya dalam kenyataan.

BACA: Khalid Samad diserang: Anak Timbalan Menteri antara 10 dicari polis

Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai bukti atau maklumat lain berkaitan kejadian itu untuk tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-40482222.

Pada Khamis, polis Kuala Lumpur meminta 10 individu termasuk seorang anak Timbalan Menteri yang terbabit dalam kejadian merusuh itu tampil menyerah diri.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya memberi tempoh sehingga jam 2 petang ini supaya 10 individu yang melakukan kekecohan di Parlimen semalam menyerah diri dan akan membuat tangkapan terhadap mereka jika enggan menyerah diri selepas tempoh diberikan.

BACA: Khalid Samad diserang penyokong Tajuddin Rahman di Parlimen

Kejadian merusuh kira-kira jam 11 pagi itu berlaku membabitkan penyokong Ahli Parlimen Pasir Salak yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman dan penyokong Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad.

Ia susulan tindakan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang memanggil Tajuddin dengan kata kesat dalam Sidang Dewan Rakyat Isnin lalu.

Khalid bertindak demikian selepas Tajuddin mengeluarkan perkataan sinis terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.