Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan giat mempromosikan daerah Lahad Datu ke mata dunia menerusi program 'Travel Mart'.

Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, langkah itu dilihat bersesuaian memandangkan daerah ini mempunyai lokasi pelancongan unik bukan sahaja untuk pelancong tempatan bahkan luar negara.

"Kita menerusi 'travel mart' ini akan mempromosikan Malaysia di luar negara termasuk juga Sabah dan Lahad Datu. Kita akan lihatkan kepada dunia luar keindahan khazanah alam semula jadi Lahad Datu. Kita ada lingkaran biru Teluk Darvel, Lembah Danum dan banyak lagi.

"Program 'Travel Mart' ini akan diadakan beberapa bulan lagi dan salah satunya di Beijing dan St Petersburg. Ini Peluang kita untuk mempromosikan produk pelancongan termasuk dari Lahad Datu," katanya pada media selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat Parlimen Silam di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Mohamaddin memberitahu, pihaknya juga merancang menjadikan Lahad Datu sebagai hab pelancongan Pantai Timur Sabah menjelang hujung tahun ini.

Malah, beliau yang juga Ahli Parlimen Silam berkata, kertas kerja sedang dalam perbincangan akhir dan penelitian pihak kementerian.

Mohamaddin ketika melawat gerai salah satu etnik di Lahad Datu pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat Parlimen Silam. - Foto Assim Hassan

"Kita memang merancang untuk menjadikan Lahad Datu ini hab pelancongan. Hab pelancongan untuk Pantai Timur Sabah. Ia satu pengiktarafan yang besar buat Lahad Datu... dan masih di peringkat akhir perbincangan.

"Penambahan dana juga akan diteliti bagi merancakkan pelancongan di Pantai Timur Sabah," katanya.

Ditanya sama ada terdapat cadangan untuk mewujudkan perkampungan budaya memandangkan Lahad Datu mempunyai kepelbagaian etnik dan suku kaum, Mohamaddin menjelaskan ia masih di peringkat perbincangan.

"Insha-Allah kita akan mewujudkan satu perkampungan yang kita panggil Kampung Pelancongan. Ini dapat mengangkat etnik dan suku kaum yang ada di Lahad Datu khususnya dan Sabah amnya," katanya.

Masyarakat pelbagai kaum tidak lepaskan peluang untuk beramah mesra dengan wakil rakyat mereka pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Silam. - Foto Assim Hassan