Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membenarkan kutipan zakat fitrah dibuat melalui amil dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dalam satu kenyataan berkata, kaedah ini dilaksanakan dengan segera berpandukan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi kemudahan umat Islam di negeri ini.

"Perkara ini dilaksanakan setelah mendapat nasihat serta diperhalusi oleh Majlis Tindakan Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia berkenaan SOP norma baharu kutipan zakat fitrah menerusi amil yang dilantik.

"Justeru itu, umat Islam di negeri ini hendaklah membayar zakat fitrah kepada amil yang dilantik oleh MUIP. Sesiapa yang didapati memungut zakat fitrah tanpa diberi kuasa atau dilantik oleh MUIP adalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 38 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013," kata kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, amil dan umat Islam yang hendak menunaikan zakat fitrah perlulah memastikan mematuhi garis panduan yang telah disediakan.

"Di Masjid Negeri, Masjid Daerah dan Masjid Kariah mesti bermula pada jam 9 pagi hingga 12 tengah hari dan kuanter tidak diadakan di dalam ruangan solat.

"Di rumah amil fitrah pula, bermula jam 9 pagi hingga 5 petang dan tiada kaunter di dalam rumah. Amil fitrah di agensi pula bergantung kepada agensi yang berkenaan.

"Yang terakhir adalah di pejabat Kutipan Zakat Pahang (PKZ) di ibu pejabat dan daerah adalah bermula jam 9 pagi hingga 3 petang," kata kenyataan itu.

Bagaimanapun, umat Islam di negeri Pahang adalah digalakkan menunaikan zakat fitrah secara atas talian untuk memudahkan proses pembayaran dalam tempoh PKPB ini yang telah disediakan iaitu ezakat.muip.gov.my