Kerajaan akan menghentikan khidmat syarikat luar negara serta ejen dalam proses pengambilan pekerja asing, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tambah beliau, tugas bagi memproses kemasukan pekerja asing akan diserahkan kepada Kementerian Sumber Manusia di bawah Agensi Pekerjaan Swasta (APS).

Menurutnya APS mempunyai akta khas bagi memastikan pengambilan pekerja asing lebih terurus dan mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada.

Jelas Muhyiddin perubahan peranan itu bertujuan bagi menangani kes pemerdagangan manusia, salah guna kuasa dan rasuah.

"Tujuan kita mengambil tindakan ini bagi mengelak beberapa perkara yang tidak diingini seperti kes pemerdagangan manusia dan pelbagai lagi perkara yang dikaitkan dengan isu pekerja asing," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa bersama Kementerian Sumber Manusia mengenai pengurusan pekerja asing di Parlimen, di sini hari ini.

Mesyuarat itu turut dihadiri Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran.

Tambah Muhyiddin ketika ini lebih 100 syarikat luar terbabit dalam pengambilan pekerja asing.

Untuk itu katanya, peralihan proses itu akan memakan sedikit masa.

Katanya, tarikh penguatkuasaan bagi serahan tugas itu akan diumumkan sebaik saja perbincangan dengan syarikat luar terbabit selesai.