Sebuah banglo di Petaling Jaya yang diubah suai menjadi kilang memproses arak tiruan digempur penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) hari ini.

Dalam serbuan jam 2.30 petang tadi, pelbagai arak tiruan yang menggunakan cap dagangan terkenal dirampas.

Nilai rampasan dianggar berjumlah RM200,000.

Ketua pegawai penguat kuasa KPDNKK Petaling Jaya, Kamaruddin Mohamad Yassin berkata kegiatan ini didalangi sindiket yang didapati menggunakan botol kitar semula yang dibawa masuk dari negara jiran sebelum memproses sendiri arak tiruan.

Serbuan dilakukan selepas penguatkuasa KPDNKK melakukan intipan sejak lebih seminggu lepas.

“Saya percaya modus operandi (MO) membabitkan kegiatan sindiket menjual arak tiruan ke pusat hiburan di Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

“Dia sebenarnya kitar semula botol yang dicuci dan dilabel semula. Isi kandunganya saya belum pasti lagi, kita akan hantar ke Jabatan Kimia untuk siasatan lanjut,” kata Kamaruddin.

Sindiket juga didapati cuba mengelirukan pembeli dengan menampal cap dagang minuman keras yang asli selain turut mempunyai pelekat kelulusan daripada pihak Kastam.

Ketika serbuan, tiada pekerja atau anggota sindiket berada di dalam premis berkenaan.

Kes disiasat mengikut Sekyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011.