Tutup

Kilang proses baja najis ayam punca sungai Johor dicemari ammonia

Kilang proses baja najis ayam punca sungai Johor dicemari ammonia
Beliau berkata ini merupakan pencemaran ammonia kali ketiga dan siasatan Syarikat Air Johor (SAJ) mendapati ia berpunca daripada pihak sama yang terbabit dalam kejadian pencemaran sebelum ini. - Gambar hiasan
JOHOR BAHRU: Pencemaran ammonia di Sungai Johor dekat Kota Tinggi semalam didapati berpunca daripada kilang memproses najis ayam berhampiran sungai berkenaan hingga menyebabkan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Semangar terpaksa dihentikan sejak lewat malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Kesihatan, Penerangan dan Pendidikan Johor Datuk Ayub Rahmat berkata pencemaran itu telah menjejaskan 160,000 akaun pengguna LRA Semangar yang tinggal di kawasan Kulai, Senai, Gelang Patah, Iskandar Puteri, Skudai, Kempas, Taman Sri Austin dan Kangkar Pulai.
Beliau berkata ini merupakan pencemaran ammonia kali ketiga dan siasatan Syarikat Air Johor (SAJ) mendapati ia berpunca daripada pihak sama yang terbabit dalam kejadian pencemaran sebelum ini.

Menurutnya Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebelum ini tidak menyokong kelulusan Penilaian Awal Tapak (PAT) bagi meneruskan kilang berkenaan di kawasan itu namun pihak Pejabat Tanah tempatan dan Jabatan Veterinar tidak mengambil tindakan tegas berhubung isu itu.
"Saya telah memberikan peringatan sebelum ini bahawa Sungai Johor membabitkan LRA Semangar dan LRA Sungai Johor. Tindakan tegas perlu diambil kerana ia melibatkan air dan kepentingan orang ramai," katanya kepada pemberita pada majlis Graduasi Johor Talent 3 di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Ayub berkata kilang memproses najis ayam itu perlu ditutup serta-merta bagi memastikan insiden sama tidak terus berulang dan menyebabkan kesukaran kepada ramai pengguna di kawasan yang terlibat."Tindakan tegas perlu diambil, kilang itu mesti tutup jika tidak masalah sama akan berulang dan kita akan terus adakan mesyuarat.

""Pihak JAS tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menutup (kilang itu) tapi kita dah rujuk perkara ini kepada Jabatan Veterinar dan Pejabat Tanah. Mereka yang patut ambil tindakan segera," tegasnya.

Beliau berkata satu mesyuarat akan diadakan esok berkaitan isu berkenaan yang akan dipengerusikan Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ) bersama agensi terlibat termasuk SAJ, JAS, Pejabat Tanah dan Jabatan Veterinar.

SAJ dalam kenyataannya memberitahu penutupan LRA Semangar bermula semalam susulan penemuan ammonia di Sungai Johor yang menjejaskan kira-kira 160,000 akaun sekitar kawasan Senai, Pulai dan Skudai.Bacaan ammonia yang dikesan mencapai tahap 2.75 ppm berbanding bacaan 1.5 ppm yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.-- BERNAMA