Kilang proses tuna akan dibina di Hutan Melintang - TPM Zahid

Kilang proses tuna akan dibina di Hutan Melintang - TPM Zahid
Ahmad Zahid menyampaikan ucapan pada Jamuan Makan Malam sempena Sambutan Ulang Tahun Persatuan Hai Suah Hutan Melintang ke-35 dan Sambutan Tahun Baru Cina malam tadi. --fotoBERNAMA
BAGAN DATUK: Sebuah kilang memproses ikan tuna yang terbesar di Malaysia bakal dibina di Bagan Hutan Melintang di sini dalam masa terdekat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata kilang itu akan dibina di kawasan seluas 8.1 hektar berhampiran muara Sungai Bernam.

"Kawan-kawan saya dari Persatuan Nelayan mencadangkan untuk buka kilang tuna di Hutan Melintang, saya bersetuju supaya kilang tuna terbesar di Malaysia dibuat di Hutan Melintang. Saya juga telah bincang dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam bersempena sambutan ulang tahun ke-35 Persatuan Hai Suah Hutan Melintang dan Perayaan Tahun Baharu Cina 2018 di sini pada Rabu.
Ahmad Zahid yang juga anggota Parlimen Bagan Datuk berkata pembinaan kilang tersebut bakal memberi peluang pekerjaan kepada kira-kira 2,000 masyarakat tempatan khususnya penduduk Bagan Datuk.

Katanya Perak menyumbang 25 peratus produk hasil laut di seluruh negara yang sebahagian daripadanya adalah hasil dari Bagan Hutan Melintang.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata beliau sudah dimaklumkan mengenai tiga bot nelayan bersama awak-awaknya dari Hutan Melintang yang ditahan pihak berkuasa Indonesia pada 19 Jan lalu dan dibawa ke Langsa di Sumatera.

Sehubungan itu, beliau telah meminta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, untuk melakukan sesuatu bagi membebaskan nelayan berkenaan berserta bot mereka.

Pada masa sama, Ahmad Zahid juga akan meminta bantuan pihak di Indonesia untuk membantu, sebagaimana yang pernah dilakukan ketika membebaskan nelayan tempatan dari Sekinchan, Selangor, yang ditahan sebelum ini.

Ahmad Zahid berkata beliau juga akan mengarahkan Jabatan Pendaftaran Negara untuk menyelesaikan isu anak di kalangan masyarakat Cina khususnya di Bagan Datuk yang lahir di luar perkahwinan dan tidak memperoleh MyKad, namun layak mengikut perundangan.

"...kerana saya melihat anak-anak ini tidak salah, oleh kerana ibu bapanya tidak mendaftarkan perkahwinan mereka, maka anak-anak ini tidak boleh menduduki peperiksaan.

Katanya beliau akan memastikan anak-anak yang layak ini diberikan kad pengenalan dan mendapat taraf warganegara.

-- BERNAMA