Sebanyak 14 Borang Pencalonan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis terjual setakat ini.

Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun, borang tersebut dibeli oleh wakil dari parti Barisan Nasional (BN), Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan calon persendirian (Bebas).

Justeru, beliau menyarankan supaya semua calon yang terlibat pada penamaan calon esok membawa dokumen yang telah ditetapkan.

“Kita sepertimana inisiatif yang telah dibuat, kita telah memberi fasiliti kepada semua calon untuk mengisi borang lebih awal dan membawa borang tersebut bersama wang deposit untuk diperiksa oleh pegawai yang ditetapkan.

“Jika perkara itu telah dilaksanakan, pelaksanaan esok hanya akan menjadi formaliti sahaja,” katanya ketika membuat tinjauan di Pusat Penamaan Calon di Dewan Datuk Seri Haji Panglima Mohamad Dun Banir, di sini, hari ini.

Beliau dalam pada itu beliau berkata, SPR berpuas hati dengan persiapan menjelang penamaan calon esok.

“Persiapan berjalan dengan lancar sekali di pusat pencalonan. Calon-calon dan penyokong dapat dipecahkan di kawasan-kawasan berlainan dan dapat dikawal oleh pihak polis.

“Saya rasa memang proses pencalonan esok akan berjalan dengan lancar dan diharap tidak ada insiden-insiden yang tidak baik dan saya memohon jasa baik parti-parti yang terlibat untuk menjaga penyokong masing-masing,” katanya.

Seramai 653 anggota dan pegawai SPR ditugaskan sepanjang penamaan calon.

Setakat ini, dua parti telah mengesahkan meletak calon untuk bertanding dalam PRK Kimanis pada 18 Januari ini.

Pakatan Harapan (PH) - Warisan mencalonkan Ketua Warisan Bahagian Kimanis, Datuk Karim Bujang sementara Barisan Nasional (BN) mencalonkan Datuk Mohamad Alamin.