Pihak polis akan memanggil tokoh politik terlibat untuk memberi keterangan sekiranya perlu berbuat demikian.

Ia bagi membantu siasatan berhubung laporan polis yang dibuat oleh pembantu Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata ia adalah proses biasa untuk menjalankan siasatan sekiranya ada laporan polis dibuat.

"Apa yang saya dimaklumkan, laporan itu bukan berkaitan Datuk Seri Najib, laporan itu dibuat di Sentul oleh pembantu beliau untuk diambil tindakan terhadap tokoh politik tertentu ekoran dakwaan yang dibuat.

"Apabila ada laporan dibuat, kita perlu siasat. la satu proses yang normal. Kalau ada keperluan, kita akan panggil (orang yang berkaitan)," katanya pada sidang media selepas perasmian penutup Hari Sukan Negara Polis Diraja Malaysia di Puteri Harbour, Iskandar Puteri di Johor, hari ini.

BACA: Polis sahkan pembantu Najib buat laporan

Semalam, seorang pembantu peribadi Najib membuat laporan polis yang meminta pihak berkuasa memanggil Lim Kit Siang untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan beberapa kes pembunuhan yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri itu.

Laporan itu turut menyatakan jika siasatan mendapati Najib tidak bersalah, pembantu peribadi itu mahu nama majikannya dibersihkan serta tindakan diambil terhadap Kit Siang.

Sebelum itu, Najib dalam status Facebook rasminya mengarahkan pembantu peribadinya agar membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dibuat yang mebabitkan dakwaan beliau terlibat dalam pembunuhan beberapa individu, termasuk model Mongolia, Altantuya Shaariibuu dan timbalan pendakwa raya, Datuk Anthony Kevin Morais.