Kempen Keselamatan Jalan Raya 2018 memfokuskan aspek pemanduan selamat oleh penunggang motosikal bagi mengurangkan kadar kemalangan maut.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata langkah ini diambil berikutan statistik kematian membabitkan penunggang motosikal terus merekodkan peningkatan setiap tahun.

Katanya, mengikut statistik kemalangan maut 2016, 62 peratus daripada 7,152 kemalangan membabitkan motosikal.

“Kerajaan tidak hanya mahu sekadar mengenakan kompaun bagi kesalahan jalan raya bagi meningkatkan kesedaran sehingga dituduh mahu mengutip wang rakyat.

"Matlamat saya nak selamatkan nyawa orang ramai, jadi kita perlu sama-sama wujudkan kesedaran sebab ia tidak babitkan kos," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Kempen keselamatan jalan raya sempena Tahun Baru Cina 2018.

Beliau pada masa sama turut mencadangkan semua agensi kerajaan dan swasta untuk mewujudkan Unit Keselamatan Jalan Raya bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan kakitangan.

"Kita tidak boleh ambil ringan isu kemalangan jalan raya sebab itu disarankan semua agensi kerajaan tubuh unit keselamatan jalan raya supaya mereka boleh ingatkan satu sama lain dan bantu rakyat adakan kempen kesedaran.

“Unit keselamatan jalan raya tersebut adalah seperti kewujudan Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di tapak-tapak pembinaan yang memberi impak besar kepada keselamatan pekerja. Syarikat swasta juga disaran ambil langkah sama," katanya lagi.