Perdana Menteri , Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Pakatan Harapan tidak berharap atau bergantung semata-mata kepada sepanduk 'I Love PM' untuk menunjukkan sokongan rakyat kepada kerajaan.

Sebaliknya jelas beliau, rakyat sendiri sudah menyatakan sokongan melalui sambutan luar biasa yang diberikan kepada beliau dan Pakatan Harapan.

“Kita berterima kasih atas sokongan rakyat. Malah, ada yang berkata I Love You. Kita bukan setakat yang tertulis I Love PM. Mereka tidak bawa pun kad itu,” katanya dalam sidang media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan anggota jemaah menteri di Laman Seri Perdana di sini hari ini.

Beliau pada masa sama menghargai sokongan ditunjukkan rakyat dan berharap keharmonian rakyat berbilang kaum dapat dikekalkan.

Katanya lagi, rakyat Malaysia berhak memilik kerajaan yang mampu membela nasib mereka.

“Kerajaan itu sudah tidak sesuai lagi dan hanya dengan cara mengundi kita dapat tukar kerajaan kita. Kita tidak perlu keganasan dan peperangan serta permusuhan antara rakyat.

“Rakyat sudah tidak lagi nak mereka. Adalah baik mereka mengambil berat tentang pandangan rakyat,” ujarnya.

Justeru dengan sambutan luar biasa, dan perpaduan semua kaum Malaysia katanya akan mengekalkan keamanan dan memulihkan ekonomi negara.